JAKIM hargai, iktiraf pendakwah dan pemimpin Orang Asli

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Seramai 242 orang penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) dan pemimpin masyarakat Orang Asli dalam kalangan Orang Asli Islam diberikan penganugerahan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Simposium Pendakwah dan Kepimpinan Orang Asli Islam 2021 yang diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin itu bagi menzahirkan penghargaan serta pengiktirafan kepada PMOA yang banyak menyumbang dan membantu di dalam pelaksanaan kerja dakwah di perkampungan Orang Asli di seluruh tanah air.

- Advertisement -

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata ianya juga bagi mengiktiraf surau-surau di perkampungan Orang Asli yang aktif di dalam aktiviti pengimarahan hingga menjadikan surau bukan sahaja sebagai tempat beribadah malah menjadi pusat aktiviti bagi komuniti setempat.

“Kerja-kerja dakwah ini tidaklah mudah untuk dilaksanakan, pelbagai cabaran perlu dihadapi daie di dalam melaksanakan misi tersebut.

“Halangan ini bukan sahaja dari sudut keperluan material malahan kekuatan rohani dan jasmani juga sangat perlu dititik beratkan,” katanya semasa merasmikan Simposium Pendakwah dan Kepimpinan Orang Asli Islam 2021, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Dato’ Dr Sirajuddin Suhaimee, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Hakimah Mohd Yusoff, Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAKIM, Ruslan Said dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, Zabidi Nasan.

Beliau berkata, untuk mendekati masyarakat Orang Asli yang unik dari segi budaya, adat resam serta mempunyai suku pelbagai, pendakwah perlu memainkan peranan dan menunjukkan contoh teladan yang baik.

Katanya, ia bagi membina hubungan antara penduduk orang asli dengan PMOA seterusnya dapat menyampaikan mesej Islam secara langsung atau tidak langsung.

“Perkara ini boleh dilaksanakan dengan mewujudkan kerjasama yang baik dan hubungan erat dengan pemimpin masyarakat bagi menjayakan misi dakwah di Kampung Orang Asli,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.

Ahmad Marzuk memaklumkan, terdapat sebanyak 365 buah surau di kampung Orang Asli dan 34 daripadanya merupakan masjid dan surau solat Jumaat.

Hal ini, katanya membuktikan syiar Islam sudah berdiri dan tersebar laus ke pelosok belantara.

Malah, penghayatan fardhu ain juga semakin meningkat dalam kalangan Orang Asli sendiri yang sudah mampu menjadi imam serta bilal di surau kampung masing-masing.

Kata Ahmad Marzuk lagi, JAKIM dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan NGO-NGO akan sentiasa mengadakan latihan dan kursus bagi imam dan bilal bagi memantapkan bacaan dalam solat atau penyampaian khutbah Jumaat.

Dalam majlis itu, JAKIM melalui Bahagian Dakwah turut menganugerahkan sijil serta wang tunai kepada masjid atau Surau Jumaat dan surau yang layak.

Antara anugerah yang disampaikan adalah Anugerah Masjid atau Surau Jumaat Kampung Orang Asli Terbaik, Anugerah Surau Kampung Orang Asli Terbaik, Anugerah Tokoh Kepimpinan Orang Asli dan Anugerah PMOA Qudwah Peringkat Kebangsaan dan negeri. – HARAKAHDAILY 25/11/2021

- Advertisement -