Gesa Malaysia lebih proaktif di pentas antarabangsa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia digesa untuk memainkan peranan yang lebih proaktif di peringkat antarabangsa dalam perkara berkaitan keamanan dan kemanusiaan sejagat serta kepentingan umat Islam.

Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) dan Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) menyuarakan perihal tersebut dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat, di sini kelmarin.

Tegas Ahmad Tarmizi, Malaysia sepatutnya menjadi pelopor pergerakan dunia Islam khususnya dalam isu berbangkit isu Palestin, isu Myanmar dan sebagainya menerusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Malah, Malaysia juga katanya, perlu bersedia menjadi peneraju dalam kalangan kakitangan diplomatik negara seterusnya dapat menyumbang sepenuh tenaga untuk memperkukuhkan Sekretariat OIC.

“Fungsi sekretariat ini sangat penting untuk diperkukuhkan melalui inisiatif Malaysia sendiri bagi menangani dan mendepani isu-isu umat Islam termasuk isu yang sangat dekat dengan negara kita iaitu isu pelarian Rohingya dari Myanmar.

“(Jadi) peruntukan sebanyak RM830,000 adalah peruntukan yang kecil dan tidak signifikan kepada fungsi OIC yang dilihat semakin lemah tidak bermaya yang menjadi pelopor,” luahnya bernada kesal.

Menurut beliau, satu ketika dahulu Malaysia telah menghantar tokoh besar seperti Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar yang dilantik sebagai Utusan Khas OIC ke Myanmar.

“Pada ketika ini, siapa lagi kah tokoh yang dapat menggantikan tugas yang telahpun dilaksanakan oleh Tan Sri Syed Hamid Albar pada satu ketika. Malaysia harus menyatukan semua bersama dengan negara-negara jiran khususnya di Indonesia dan Brunei.

“(Iaitu) untuk meletakkan OIC ini wajah yang baharu daripada sinergi dan juga mewajarkan bahawa OIC ini masih lagi relevan untuk memayungi dunia Islam sarwajagat,” ujar beliau.

Malaysia tegasnya, perlu berani memberi keyakinan bahawa mampu mengetuai pergerakan tersebut dengan sokongan kuat negara jiran seperti Indonesia yang mempunyai jumlah umat Islam teramai di dunia serta negara Brunei dengan kekayaan aset negaranya.

Beliau juga berharap adanya usaha sama dengan Setiausaha Agung Utusan Khas PBB ke Myanmar, Dr. Noeleen Heyzer yang baharu dilantik khusus bagi menyatakan pendirian dan langkah Malaysia agar konflik di Myanmar dapat ditamatkan segera.

Juga harapnya, jalinan hubungan akrab yang dapat mengembalikan hak-hak kemanusiaan telah dicabuli sepanjang konflik khususnya di Wilayah Rakhine melibatkan etnik Rohingya dan etnik-etnik lain.

Abdul Latiff pula berharap agar Malaysia sedia maklum akan lemahnya OIC
dalam beberapa isu terutamanya isu Palestin dan seakan hidup segan mati tidak mahu dalam membicarakan kepentingan ummah.

“Malah lemah mengambil tindakan terhadap rejim Israel yang begitu kejam dan rakus membaham dan menghancurkan Palestin. Kekurangan keazaman politik OIC tidak lagi boleh dijadikan alasan membiarkan kekejaman Israel berterusan.

“Pendirian rasmi Kerajaan Malaysia menegaskan bahawa Israel yang diketuai oleh Zionis Yahudi adalah kerajaan haram yang dibina di atas bumi dan negara Palestin yang dirampas sejak tahun 1948.

“Kesan pencerobohan Zionis Yahudi itu telah mengakibatkan kehilangan nyawa ratusan ribu orang rakyat Palestin manakala jutaan mereka diusir keluar daripada negara sendiri dan menimbulkan konflik berpanjangan di rantau tersebut.

“Tindakan Zionis Yahudi dan negara haram Israel menyerang, membunuh dan merampas bumi umat Islam di Palestin adalah sebenar-benar keganasan yang layak untuk pelakunya digelar sebagai pengganas dan terrorist serta merupakan jenayah antarabangsa yang perlu disekat dan dihalang oleh dunia dengan apa cara sekalipun.

“Kesatuan dan perpaduan umat Islam khususnya negara-negara OIC serta gabung jalin perhubungan pertubuhan bukan kerajaan ataupun NGO perlu diperkukuhkan dalam menghadapi kezaliman Zionis Yahudi,” serunya.

Kerajaan Malaysia melalui OIC katanya, perlu menggandakan peranan menggembleng tenaga umat Islam bagi memperjuangkan perlindungan antarabangsa kepada warga Palestin di Ghaza dan juga di Tebing Barat, sekali gus menolak sebarang ancaman daripada serangan serta gerakan penjajahan rejim tersebut.

Beliau turut mengemukakan saranan untuk Malaysia mengambil peluang menawarkan kepakaran syarikat dan tenaga profesional negara kepada Afghanistan serta menyertai negara lain sebagai rakan strategik. – HARAKAHDAILY 25/11/2021

- Advertisement -
- Advertisement -