Gabungan Rakyat Sabah wajar didaftar segera

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dicadang mengambil langkah segera mendaftarkan pakatan itu sebagai gabungan politik rasmi.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Dato’ Seri Salleh Said Keruak berkata, langkah itu sebagai usaha mengukuhkan gabungan dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 September tahun lalu.

Katanya usaha tersebut perlu dilakukan bagi mengelak perpecahan dalam kalangan ahli gabungan khususnya di antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

- Advertisement -

“Perpecahan kedua-dua parti itu dilihat punca berlaku PRN Melaka 20 November lalu diadakan. Ia perlu dijadikan peringatan supaya tidak berjangkit ke Sabah.

“Pemimpin GRS perlu duduk bersama untuk membincangkan tindakan segera bagi memperkasakan gabungan tersebut. Ia sangat penting untuk memperkasa GRS,” katanya pada kenyataan.

Sehubungan itu kata beliau yang juga Adun Usukan, keutamaan untuk mendaftarkan GRS sebagai gabungan politik rasmi perlu diberi perhatian.

Menurutnya juga GRS boleh menimbangkan untuk membuka keahlian secara terus kepada parti lain untuk menjadi ahli gabungan berkenaan.

“Langkah itu perlu bagi memastikan rakyat Sabah tidak lagi keliru mengenai kedudukan gabungan berkenaan.

“Saya telah menyampaikan pandangan mengenai perkara ini kepada kepemimpinan tertinggi GRS,” katanya.

GRS dibentuk hasil kerjasama Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) selepas PRN Sabah.

Pada PRN tersebut GRS mendapat 38 undi berbanding Warisan 32 dan Bebas pula menang 3 kerusi. – HARAKAHDAILY 25/11/2021

- Advertisement -