Beri tempoh untuk kemukakan bukti

- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 20)

NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK

DI ANTARA bentuk keadilan Islam ialah memberikan tempoh kepada seseorang atau pihak yang mendakwa mempunyai hak ke atas seseorang atau sesuatu mengemukakan bukti apa yang didakwakan.

- Advertisement -

Inilah yang diingatkan oleh Umar al-Khattab dalam suratnya kepada Abu Musa al-Asy’ari:

ومن ادعى حقًّا غائبًا أو بينةً فاضرب له أمدًا ينتهي إليه، فإن جاء ببينةٍ أعطيته بحقه، فإن أعجزه ذلك استحللت عليه القضية

“Sesiapa yang mendakwa satu hak yang tiada di depan mata atau mendakwa ada bukti, maka berikan kepadanya satu tempoh yang sesuai untuknya. Jika dia datang membawa bukti, engkau berikan kepadanya haknya. Jika dia tidak mampu membawa buktinya, minta halal darinya terhadap kes yang dibawa itu.”

Pihak yang mendakwa mungkin ada saksi atau bukti. Sekiranya hakim atau pihak mahkamah terburu-buru menjatuhkan hukuman tanpa mengambil kira dakwaan seseorang, mungkin haknya tidak dapat dituntut.

Apabila pihak yang mendakwa memohon satu tempoh, berikanlah kepadanya satu tempoh yang sesuai. Tidak semestinya tiga hari atau tempoh tertentu, tetapi tempoh masa yang sesuai, berdasarkan keperluan.

Sekiranya pihak yang mendakwa kelihatan degil, tidak mahu membawa buktinya, maka pihak mahkamah tidak perlu memberikan tempoh kepadanya. Bahkan pihak mahkamah boleh meneruskan perbicaraan dan menjatuhkan hukuman. Ini kerana tempoh yang diberikan itu bertujuan menyempurnakan keadilan yang dituntut oleh Islam. Inilah yang disebut oleh sarjana Islam terdahulu ketika mengulas kenyataan Umar al-Khattab ini.

Saya kurang arif secara mendalam dengan pelbagai prosedur di mahkamah sivil mengenai apa yang disebutkan oleh Umar al-Khattab ini dan para sarjana Islam yang mengulas mengenainya. Apa yang diharapkan ialah prinsip keadilan seperti memberikan tempoh menurut keperluan ini juga berlaku dan memang dipraktikkan dalam sistem kehakiman dan perundangan di negara kita. – HARAKAHDAILY 25/11/2021

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.

- Advertisement -