Alasan KM Pulau Pinang tak munasabah – Sanusi

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

Oleh: SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Alasan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, bahawa pihaknya tidak berkemampuan untuk membayar tuntutan royalti air mentah Kedah adalah tidak munasabah.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, umum mengetahui bahawa Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA) menjana pendapatan dan keuntungan yang besar dan berlipat ganda.

- Advertisement -

“Sukar sekali menghadamkan jawapan beliau (Ketua Menteri Pulau Pinang) kerana semua orang tahu PBA menjana pendapatan dan keuntungan yang banyak daripada industri bekalan air kepada sektor industri, perkapalan dan domestik, daripada air mentah yang berpunca dari Kedah,” tegas beliau di laman sosialnya semalam. 

Menurutnya, jawapan tersebut dinyatakan sendiri oleh Ketua Menteri terbabit sewaktu pertemuan bersama beliau ketika menghadiri Mesyuarat Raja-Raja kali ke-257 di Istana Negara, Kuala Lumpur semalam. 

Sanusi (kanan) ketika menghadiri Mesyuarat Raja-Raja kali ke-257 di Istana Negara, Kuala Lumpur semalam. 

Tambah Sanusi,  tuntutan bayaran air mentah berkenaan adalah untuk negeri dan rakyat Kedah atas pengorbanan menyimpan kawasan tadahan untuk manfaat pihak lain. 

“Saya tuntut hak yang wajar dan munasabah daripada pengorbanan Kedah menyimpan kawasan tadahan ratusan ribu hektar. 

“Dari situlah mengalirnya sungai-sungai membekalkan air mentah untuk minuman dan kawasan pertanian makanan untuk Kedah, Pulau Pinang dan Perlis,” tegasnya lagi. 

Sebelum ini, Kedah begitu komited dalam membuat tuntutan bayaran royalti air mentah dari Pulau Pinang sebanyak RM50 juta setahun. 

Namun begitu, perkara itu tidak mendapat maklum balas daripada pemimpin kerajaan DAP Pulau Pinang malah surat rasmi dari Kerajaan Kedah juga tidak dijawab. – HARAKAHDAILY 25/11/2021

- Advertisement -