Penerima GKP dipertimbang untuk terima BKM

KUALA LUMPUR: Penerima Geran Khas Prihatin (GKP) yang tidak diluluskan permohonan bagi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) atau Bantuan Khas Covid-19 akan dipertimbangkan untuk Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) secara automatik tanpa perlu membuat permohonan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata bagi permohonan baharu dan kemas kini untuk BKM, tempoh pendaftaran akan dibuka mulai 1 hingga 31 Jan tahun depan.

Advertisement

Beliau berkata ia bagi memastikan mereka yang layak dan tiada dalam pangkalan data kerajaan masih diberi peluang untuk memohon.

Katanya data daripada sembilan agensi kerajaan akan dimasukkan ke dalam data BKM bagi mengurangkan exclusion error.

“Ini merangkumi data eKasih, bantuan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), penghuni perumahan awam atau projek perumahan rakyat, Orang Asli, gelandangan berdaftar, ibu tunggal, penerima skim insurans Perkeso dan penerima zakat atau Baitulmal,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini. – BERNAMA