Menangani sisa buangan ladang khinzir

- Advertisement -

BARU-baru ini, saya diajukan soalan berkenaan pengurusan sisa buangan bagi ladang khinzir di Negeri Perak iaitu:

- Advertisement -

Bagaimanakah penyelesaian mengenai masalah pembuangan air najis khinzir, serta pelepasan air lebihan yang dialir dari kawasan ladang.

Jawapan saya ialah:

Bagi memastikan kelestarian alam sekitar terutama dalam pengawalan pencemaran sungai yang sering berlaku, Jabatan Perkhidmatan Veterinar bertindak sejajar dengan peruntukan Enakmen Pengawalan Penternakan Babi 1992 dan Kaedah-kaedah Pengawalan Penternakan Babi 2009 menetapkan had parameter pelepasan efluen yang disalurkan keluar dari ladang penternakan khinzir mestilah bacaan BOD (Biochemical Oxygen Demand) kurang daripada 50ppm dan COD (Chemical Oxygen Demand) kurang daripada 500ppm seperti mana yang terkandung di dalam jadual kedua Enakmen tersebut.

Persampelan air kumbahan ini dijalankan 2 kali setahun iaitu fasa pertama sampel diambil antara bulan Januari hingga Jun dan Fasa kedua sampel efluen diambil antara bulan Julai sehingga Disember setiap tahun oleh pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang diberi kuasa.

Manakala bagi ladang-ladang yang berdekatan dengan sungai disarankan untuk menuju ke arah mengguna pakai konsep ‘zero discharge’ iaitu merawat air kumbahan dengan menggunakan bahan kimia dan digunakan semula di ladang sebagai air membasuh kandang. 

Soalan lain pula berkenaan bilangan ladang ternakan khinzir yang tidak mematuhi syarat-syarat ditetapkan oleh kerajaan, dan tindakan yang telah diambil serta solusi yang dicadangkan?

Jawapan saya:

Enakmen Pengawalan Penternakan Babi 1992 dan Kaedah-kaedah Pengawalan Penternakan Babi 2009 (Lesen) telah dikuatkuasakan pada 1 Januari 2010 dan sebanyak 131 lesen penternakan khinzir telah dikeluarkan pada tahun tersebut.

Pada Januari 2021 sebanyak 103 ladang khinzir telah dilesenkan walau bagaimanapun pada tahun ini, 3 buah ladang telah tutup dan 3 buah ladang lagi dalam proses penutupan.

Maka jumlah ladang khinzir yang masih beroperasi hanya 97 buah ladang. Sebanyak 34 buah ladang khinzir telah ditutup kerana tidak memenuhi syarat-syarat pelesenan semenjak penguatkuasaan enakmen ini.

YB USTAZ MOHD AKMAL KAMARUDIN
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains Alam Sekitar dan Teknologi Hijau 
Negeri Perak – HARAKAHDAILY 24/11/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/374752124290199/posts/410828944015850

- Advertisement -