‘Memori’ judi di ibu kota

- Advertisement -

Oleh AZAMIN AMIN

BERTINDAK atas satu maklumat yang diberikan, sumber yang tidak dikenali ini berhajat sangat ingin menemui kami. Kami di sini ialah saya dan rakan seperjuangan, Wan Nordin. Pada biasanya, kami tapis terlebih dahulu tapi kali ini beriya-iya sangat sumber ini nak bersua dengan kami.

Sebenarnya ini bukanlah kali pertama, jenis pertemuan sulit sebegini yang diinginkan oleh sumber. Secara rahsia, tanpa diketahui dengan jelas siapa orangnya. Banyak kali juga dan kalau pada kebanyakan orang ianya sesuatu yang cukup tidak selesa, bahaya dan cukup menggugat keselamatan.

Tapi anehnya kebanyakan ‘informant’ ini enggan ke balai atau membuat laporan polis atau merujuk pihak berkuasa yang berkaitan untuk tindakan susulan. Bagi mereka, adakalanya sukar untuk mendapat dan mengumpulkan bukti. Mereka percaya hanya media seperti kami sahaja berani.

- Advertisement -

Bukan itu sahaja, bagi mereka, ini semua akan mengundang kesusahan buat mereka di kemudian hari. Diancam, diugut dan apa saja perlakuan jenayah boleh menimpa mereka. Oleh itu sumber terbabit, lebih selesa bertemu media seperti kami.

Ada sekali itu, seorang sumber ingin bertemu di sebuah bangunan belakang Jalan Tun Razak jam 12.00 tengah malam. Tingkat 10 di ruang cafe yang telah ditutup dan kosong tiada seorang pun ketika itu. Agak suram, ditemani cahaya beberapa lampu. Sunyi sangat. Syaratnya, hanya saya seorang sahaja dibenar bertemu dengannya lalu saya minta Wan Nordin bersembunyi di sebalik pintu keluar tangga berhampiran lif.

Lalu bertemulah saya dengan sumber itu, sambil duduk di meja, menggigil tangannya menggenggam sekeping kertas yang direnyuk. Berkepul-kepul asap rokok dihembusnya. Tak tentu arahnya, gelisah. Katanya digenggamannya inilah rahsia, yang menyebabkan dia diekori oleh orang tertentu dan diupah untuk mencarinya.

Sehelai kertas yang mengandungi rahsia kononnya melibatkan skandal seorang wakil rakyat. Ini bukti bertulis katanya. Sejam juga pertemuan itu, walaupun dalam keadaan sedikit cemas dan menakutkan. Iyelah, mana nak tahu kalau ada yang serkup daripada belakang. Tapi saya percaya rakan saya, Wan Nordin takkan tinggalkan saya jika berlaku kecemasan.

Pendek cerita, kami berdua keluar dengan selamatnya daripada blok bangunan itu. Hasil daripada pendedahan itu, wakil rakyat terbabit tidak lagi tercalon untuk bertanding untuk pilihan raya pada tahun berikutnya.

Kali ini, lain pula. Sumber ini bukan mahu bertemu di bangunan kosong. Tapi di tengah ibu kota pada waktu siang. Siap bagi arahan, tinggalkan kereta di sisi jalan, dan minta kami mampir dan naik ke kenderaannya. Kami berdua tidak dibenarkan membawa apa jua pengenalan diri seperti kad media, buku catatan, kamera, rekoder rakaman dan dompet semuanya kena ditinggalkan dalam kereta kami. Melainkan kad pengenalan kami sahaja diizinkan.

Berdebar juga kami berdua, dalam kenderaan itu kami tak banyak cerita, mengikut sahaja ke mana yang ingin dibawa sumber. Yang pemandu ini badannya besar, tinggi dan seperti seorang pengawal peribadi lagaknya. Dia sudah berpesan dengan syarat-syarat tententu, jangan sampai mendedahkan diri siapa kami.

Sumber kami lalu membawa kami masuk ke sebuah bangunan lama, seperti sebuah bangunan ukiran kolonial tinggalan British dahulu. Di pintu dua orang pengawal peribadi memeriksa tanpa banyak cerita melepaskan kami berdua masuk bersama sumber kami itu.

Di situlah kami melihat lebih 20 Mesin Judi yang dipanggil sebagai ‘Jackpot’. Setiap satu mesin slot itu sedang ditekuni oleh penggunanya yang rata-ratanya kelihatan kulit bersawo matang. Berpakaian kemas, kemeja dan ‘tied in’ berseluar slack. Khusyuk, tak pedulikan kami yang lalu di belakang mereka. Semuanya guna chip atau token. Chip itu nanti ditukar kepada duit. Untuk dapatakan chip itu kenalah letak duit. Bukan sedikit, ribu jugalah.

Saya, Nordin dan dia, kami duduk di satu sudut, sambil dia menyua rokok kepada saya. Dia sudah pesan kepada saya, hisap rokok sebatang untuk hilangkan syak wasangka orang di dalam bilik itu. Kami bersembang, seolah-olah kami, ahli kelab terbabit. Setengah jam di situ, dia memberi peluang untuk kami memerhati, menghafal, mengecam dan mengenali tempat tersebut termasuk orang-orang yang lalu lalang.

Katanya sebahagian besar pengunjung pusat mesin slot judi ini adalah penjawat awam yang menggunakan masa rehat tengah hari mereka untuk berjudi. Dia kenal mereka ini, kerana dia juga adalah salah seorang pengunjung di sini.

Kawasan ini terletak di pinggiran Segi Tiga Emas ibu kota, pinggiran berdekatan Jalan Raja Chulan dan juga Jalan Tun Razak. Kalau pelancong atau masyarakat awam takkan terfikir di situ letaknya pusat judi mesin slot yang eksklusif itu.

Dia juga kata, hari ini kami terlepas peluang sebab hari ini seorang ahli politik terkenal itu tidak datang seperti biasa katanya. Dia adalah ‘regular customer‘ berjudi di sini. Kalau sebut, satu negara kenal dia ni. Moga sudah insaflah dia ini.

Setelah itu, kami bergerak ke sebuah lokasi, sebuah bangunan rumah lama yang ‘parking‘ keretanya sangat luas. Di luar seperti sebuah kelab eksklusif. Kali ini kami disambut oleh seorang ‘Amoi’ yang cantik berpakaian seksi, mengalu-alukan kedatangn kami. Dia menawarkan chip judi untuk kami mula bermain. “RM10,000 sebagai permulaan dan ini percuma!”

Di situ juga terdapat mesin slot sama seperti di bangunan lama tadi. Tapi di sini ada bilik-bilik khas yang lebih eksklusif. Ada musik rancak macam disko. Lampu merelip-merelap. Bar dan botol-botol arak dengan beberapa gadis pelayan lalu-lalang. Pasti ada yang sedang bermain ‘open-table’ seperti ‘Black Jack’, ‘Poker’ atau seumpamanya.

Photo by Kvnga on Unsplash

Selesai eksplorasi, kami berdua menaiki semula kereta sumber. Di situlah dia memberitahu, tujuannya. Inilah antara tempat judi tertutup dan semuanya ini adalah dalam pengetahuan kerajaan katanya. Dia dedahkan ini, supaya kami membongkar dan majukan ini kepada pihak berkuasa tempatan agar dapat menutup sarang maksiat ini dan penutup ‘pintu-pintu kerosakan’. Katanya ada yang berlesen tapi banyak juga yang lesen ‘under table‘.

Kelab-kelab judi ekslusif ini katanya ada banyak di merata-rata di ibu kota. Ramai yang tidak perlu ke Genting Highland untuk berjudi. Tapi malangnya, ramai yang beragama Islam juga turut terlibat sama tanpa kecuali ahli poltik katanya. Sumber kami ini juga bukan calang-calang jugalah pailangnya. Apa-apa hal, ‘just hello’ ya, katanya ucap selamat tinggal.

Demikianlah ‘memori’ judi kami di ibu kota, 10 tahun lalu. Kami tidak tahu, apa kisahnya kini. Sama ada makin tumbuh bak cendawan atau sudah jatuh runtuh. Yang kami tahu Kedah dah muktamad tak keluar lesen berjudi. Moga negeri-negeri lain juga menyusul nanti.

(Penulis adalah Penolong Pengarang Berita Harakah)HARAKAHDAILY 24/11/2021

- Advertisement -