Mangsa banjir kilat perlukan keperluan asas

Norsiah Md Janor.
- Advertisement -

Oleh KAIROL ZULHAIDI

AMPANG: Penduduk di beberapa kawasan yang dilanda banjir kilat di Ampang kelmarin terutama Kampung Lembah Jaya Utara dan Kampung Lembah Jaya Selatan di sini memerlukan bantuan keperluan asas seperti makanan, tilam, bantal dan selimut.

Mantan Ketua Kampung Lembah Jaya Selatan, Ampang, Norsiah Md Janor berkata, antara yang paling dititikberatkan adalah untuk membantu menyalurkan keperluan asas kepada penduduk yang terjejas akibat banjir kilat di Ampang seperti memberikan makanan,  tilam,  bantal  dan selimut bagi memastikan mereka dalam keadaan selesa.

- Advertisement -

Menurutnya, sekurang-kurangnya penduduk dapat tidur dalam keadaan baik kerana sekarang ini ramai daripada mereka tidur di atas kerusi disebabkan tilam dan bantal milik mereka banyak yang kotor dan rosak akibat banjir.

Selain itu juga katanya, pihaknya juga turut menghantar bantuan makanan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir dari sebuah rumah ke rumah yang lain. 

“Saya khuatir bekalan bantuan makanan berkenaan tidak sampai kepada mangsa banjir sekiranya makanan dihantar ke pusat pemindahan banjir. Sekarang ini bantuan semua sampai ke pusat pemindahan. Kebanyakan mangsa banjir pula tidak pergi ke sana,” tegasnya. 

Tambah beliau, terdapat lebih 100 buah rumah yang terjejas akibat daripada banjir tetapi yang pergi ke pusat pemindahan banjir hanya kira-kira 20 orang.

“Justeru, pihak kami memilih untuk menyalurkan bantuan makanan dengan menemui penduduk di rumah masing-masing.

“Mereka yang tinggal di kawasan pedalaman yang terjejas akibat daripada banjir mengalami kesukaran untuk pergi ke pusat pemindahan banjir kerana lokasi mereka yang agak jauh dan terpencil dari pusat pemindahan. Hal ini menyebabkan mereka tidak pergi ke pusat pemindahan dan terus tinggal di rumah mereka,” ujarnya kepada HarakahDaily. 

Kawasan kediaman mangsa banjir kilat di Kampung Lembah Jaya Utara yang dipenuhi lumpur ini memerlukan kerja-kerja pembersihan.

Tambah Norsiah, kebanyakan penduduk memilih untuk tidak ke pusat pemindahan banjir kerana mereka ingin membersihkan dan mengemas rumah masing-masing yang terjejas akibat banjir dan membersihkan kediaman mereka yang dalam keadaan teruk akibat banjir. 

“Tanah merah dan lumpur memenuhi rumah mereka sehingga mengotorkan kediaman mereka dan barangan di rumah mereka,” ujarnya.

Di samping itu katanya, pihaknya sedang menggembleng tenaga bagi membersih dan membaiki  rumah mangsa yang terjejas akibat bencana berkenaan. 

“Namun begitu, ada beberapa rumah yang ketiadaan elektrik dan kekurangan sumber  air disebabkan banjir kilat tersebut yang sedikit menyukarkan pihak kami, namun ia tidak menghalang kami untuk membantu mereka,” katanya.  

Turut sama membantu mangsa banjir ialah beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO)  yang yang  bersama-sama mengurangkan beban yang dipikul oleh penduduk di kawasan yang terjejas banjir.

Kebanyakan barangan keperluan asas penduduk yang menjadi mangsa banjir kilat di Kampung Lembah Jaya Utara dan Kampung Lembah Jaya Selatan di Ampang kelmarin, tidak lagi boleh digunakan kerana kotor dan rosak.

Terdahulu, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menggerakkan beberapa jabatannya untuk melakukan kerja-kerja mengutip timbunan sampah sarap dan pembersihan lumpur di kawasan terjejas berikutan kejadian banjir kilat pada Isnin.

MPAJ dalam kenyataannya memaklumkan, beberapa jabatan dalaman MPAJ seperti Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam serta Jabatan Khidmat Pengurusan telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan di beberapa laluan utama terbabit.

“Kawasan terlibat di sekitar Kampung Melayu Ampang, Kampung Lembah Jaya Utara dan Kampung Lembah Jaya Selatan,”  katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi MPAJ di sini pada Selasa.

Menurut MPAJ, banjir kilat setinggi satu meter yang berlaku sejak jam 6 petang Isnin lalu membawa sampah dan lumpur ke kawasan sekitar.

“Kerja-kerja pembersihan ini sudah bermula malam Isnin sebaik sahaja hujan berhenti dan telah disambung seawal jam 7 pagi Selasa,” ujar kenyataan tersebut. – HARAKAHDAILY 24/11/2021

- Advertisement -