Mahkamah Persekutuan Syariah perlu ditubuhkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan Syariah perlu ditubuhkan dan diberi peruntukan dalam perundangan tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan sepertimana mahkamah sivil, demikian cadang Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik).

Menurutnya, kedudukan Mahkamah Syariah perlu ditingkatkan seperti dicadangkan pelbagai pihak dengan mengadakan hierarki keempat daripada tiga tingkat sedia ada ketika ini iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.

- Advertisement -

“Sehingga kini, hanya negeri Perak sahaja yang telah menambah hierarki mahkamah daripada tiga tingkat kepada empat tingkat. Itu pun penjawatnya untuk hakim tertinggi masih belum sama dengan kedudukan hakim tertinggi di mahkamah sivil.

“Dari sudut penubuhan pula, hanya negeri Terengganu sahaja yang memperuntukkan penubuhan Mahkamah Syariah di dalam Undang-undang Tubuh Negeri tersebut. Bagi negeri-negeri lain, penubuhan Mahkamah Syariah hanya disebut dalam enakmen negeri. 

“Ia berbeza dengan penubuhan mahkamah sivil yang terdapat dalam undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan. Inilah yang selalu didebatkan taraf Mahkamah Syariah nampaknya lebih rendah daripada mahkamah sivil kerana instrumen penubuhan adalah berbeza,” ujarnya.

Beliau menyuarakan demikian ketika bangun mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 melibatkan Kementerian di peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat, Parlimen di sini kelmarin.

Tegasnya, keprihatinan pihak eksekutif untuk Mahkamah Syariah dipertingkatkan seperti yang dikemukakannya itu adalah demi meletakkan keadilan kepada paksi jati diri negara iaitu Islam. 

“Jika dilihat kepada praktis pada hari ini, hakim bagi Mahkamah Syariah hanya dilantik oleh Jabatan Perkhidmatan Awam sedangkan bagi mahkamah sivil di bawah Suruhanjaya Kehakiman.

“Malah, gaji hakim Mahkamah Syariah dilihat lebih rendah jika dibandingkan dengan gred gaji dan elaun hakim mahkamah sivil. Saya mencadangkan diwujudkan Suruhanjaya Kehakiman Syariah Malaysia.

“(Ini) supaya proses pelantikan hakim, perjawatan dan emolumen bagi hakim Mahkamah Syariah setaraf dengan kedudukan mahkamah sivil,” suaranya. – HARAKAHDAILY 24/11/2021

- Advertisement -