Kerajaan perlu rancang strategi hadapi ketidaktentuan ekonomi

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi, meminta kerajaan membuat perancangan strategi bagi memperkukuhkan keadaan fiskal negara supaya lebih berdaya saing menghadapi ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.

Menurutnya, keadaan fiskal negara semakin terhimpit akibat dasar fiskal yang kerajaan laksanakan dalam Bajet 2021 dan 2022.

- Advertisement -

“Lebihan akaun semasa daripada hasil yang digunakan untuk perbelanjaan mengurus semakin menipis sekali gus memerlukan langkah jangka panjang untuk menanganinya.

“Oleh itu, saya juga ingin mengetahui perancangan kerajaan secara terperinci bagi terus mengekalkan polisi fiskal secara pentadbiran,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini.

Che Abdullah berkata, kerajaan perlu mengawal pembayaran khidmat hutang supaya tidak melebihi 15 peratus daripada pembayaran urus serta menurunkan kadar polisi fiskal kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diunjurkan kepada tiga peratus menjelang tahun 2025.

Oleh itu, beliau ingin tahu strategi kerajaan bagi menstrukturkan semula amalan pentadbiran fiskal yang lebih berdisiplin untuk beberapa tahun akan datang.

Sementara itu, Abdullah mencadangkan kerajaan menyediakan satu prosedur formal terhadap pengecualian penalti dan pendedahan kesilapan pencukaian melalui program khas pengakuan sukarela Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang kerajaan rancang.

Beliau berkata, inisiatif itu sangat baik kerana dapat membantu kerajaan mengatasi ketirisan kutipan cukai dan menambahkan hasil negara dengan mengurangkan jurang cukai.

“Ketiadaan prosedur standard bagi program pengakuan sukarela ketika ini dibimbangi tidak akan dapat menarik lebih banyak perniagaan untuk menyertainya.

“Saya juga ingin tahu berapa nilai sasaran serta rancangan masa pelaksanaan program ini dalam menambah hasil pendapatan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/11/21

- Advertisement -