Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
BACHOK: Program Peningkatan Pendapatan Golongan B40 khas bagi nelayan mampu memberi nilai tambah pendapatan kepada golongan terbabit.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, program tersebut dilaksana bagi memberi nilai tambah pendapatan isi rumah keluarga nelayan yang turut tergolong kategori B40.
Menurut beliau program itu termasuk tanaman yang diusahakan di sekitar kediaman nelayan, di mana hasilnya boleh dijual.
“Tanaman kontan dapat mengeluarkan hasil dalam tempoh tiga hingga enam bulan, bantuan tersebut dapat membantu meningkatkan pendapatan dan kurangkan kos sara hidup.
“Diharap program tersebut dapat diterus dan dikembangkan lagi pada masa hadapan dengan bantuan isteri dan anak-anak nelayan di rumah,” katanya pada perasmian kursus tanaman kontan di bawah program pembangunan pelan peningkatan pendapatan golongan B40.
Program tersebut diadakan di Sudara Beach Resort semalam. Turut hadir Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Cawangan Kelantan, Khuzaimah Husain.
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerima peruntukan RM35.4 juta bagi melaksanakan program terbabit yang melibatkan 16 agensi.
Antaranya Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mensasarkan 2,006 peserta dengan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi tahun 2020.
LKIM Kelantan menerima sebanyak RM350,000 dimanfaatkan kepada 350 nelayan, manakala RM82,000 diterima pada 2021 untuk dimanfaat 41 nelayan.
Sementara itu masyarakat nelayan menyambut baik peningkatan bantuan Program Peningkatan Pendapatan Golongan B40 daripada RM1,000 tahun lalu kepada RM2,000 pada 2021.
Bantuan yang diberikan kepada setiap peserta dalam bentuk barangan melibatkan 53 projek tanaman meliputi halia, kunyit, lengkuas, cili api dan sebagainya.
Seorang nelayan, Nik Soh Nik Man, 54, dari Kampung Geting Tumpat menyambut baik hasrat kerajaan untuk membantu golongan terbabit.
Beliau berkata, tanaman kontan di bawah Program Peningkatan Pendapatan Golongan B40 dilaksanakan secara berkelompok melalui Persatuan Nelayan Kawasan (PNK).
“Kalau ada bantuan kerajaan seperti ini, kita mahu cuba dan kita bercadang untuk melaksana projek pertanian secara hidroponik dan ternak ikan secara berkelompok,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/11/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!