Jabatan Kastam perlu dinaik taraf kepada Suruhanjaya Kastam

Ustaz Sabri Azit
- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit, mencadangkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dinaik taraf kepada Suruhanjaya Kastam Diraja Malaysia (SKDM).

Selain Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), katanya JKDM adalah agensi kerajaan yang memberikan komitmen tinggi untuk meningkatkan kutipan hasil negara.

- Advertisement -

Menurutnya, JKDM sentiasa memastikan kutipan hasil negara meningkat setiap tahun dan melebihi sasaran ditetapkan Kementerian Kewangan (MoF).

“Tugas dan fungsi JKDM sebagai agensi pemungut cukai serta penguatkuasaan dan pencegahan penyeludupan adalah penting dalam membangun ekonomi negara.

“Sebagai wira ekonomi negara, oleh itu adalah wajar JKDM dinaik taraf menjadi SKDM supaya  dapat melaksanakan peranan dengan lebih berkesan,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sabri berkata, menaikkan taraf kepada SKDM juga memberi banyak manfaat kepada warga JKDM dari segi pembangunan kerjaya, kenaikan pangkat serta pentadbiran.

Katanya, ini juga memberi JKDM peranan yang sama seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sebelum ini dikenali sebagai Badan Pencegahan Rasuah (BPR).

Sementara itu, beliau mencadangkan kuarters JKDM dibangunkan di Putrajaya bagi memudahkan pengurusan perumahan kakitangan agensi itu yang dianggarkan lebih 3,000 orang di pusat pentadbiran negara.

Katanya, ini juga bagi menyelesaikan kekangan kakitangan yang terpaksa berdepan proses panjang untuk mendapatkan kuaters di Putrajaya.

“Oleh itu, eloklah kuarters diwujudkan di Putrajaya seperti di Kelana Jaya. Begitu juga kakitangan JKDM yang memerlukan perumahan di setiap negeri memandangkan terdapat kira-kira 14,000 kakitangan JKDM di seluruh negara,” katanya.

Beliau juga meminta kerajaan mempertimbangkan kenaikan pangkat kepada kakitangan JKDM yang layak dan membuat pengambilan kakitangan baharu untuk ditempatkan di pelabuhan dan pintu masuk negara di sempadan.

“Pertambahan kakitangan juga dapat mengekang aktiviti penyeludupan di pelabuhan dan sempadan yang secara tidak langsung dapat meningkatkan kutipan cukai dengan lebih cekap,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/11/2021