Covid: Kematian meningkat di Terengganu sejak dua minggu lepas

Datuk Dr Kasemani Embong
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 74 kes kematian direkodkan akibat Covid-19 sejak dua minggu lepas di Terengganu, kata Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Kasemani Embong.

Beliau berkata trend peningkatan itu agak membimbangkan dengan lapan kematian direkodkan pada 18 Nov, sembilan kematian pada 15 Nov dan 17 Nov manakala kematian tertinggi dilaporkan pada 20 Nov iaitu sebanyak 12 kes.

- Advertisement -

“Peningkatan kes kematian ini berkemungkinan disebabkan oleh beberapa faktor seperti kelewatan mendapatkan rawatan, pesakit yang mempunyai faktor komorbid berganda (melebihi dua), belum mendapatkan vaksinasi dan pesakit berumur lebih 50 tahun

“Contoh komorbid adalah seperti diabetes, penyakit jantung, obesiti dan tekanan darah tinggi yang meningkatkan risiko seseorang itu mudah dijangkiti dan mendapat gejala serius,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Jumlah kumulatif kematian Covid-19 di Terengganu hingga semalam ialah 558 kes manakala jumlah kumulatif kes Covid-19 pula sebanyak 75,051.

Kematian tertinggi direkodkan di daerah Kuala Terengganu dengan 118 kes diikuti Besut (105), Kemaman (92), Dungun (91), Marang (54), Kuala Nerus (52), Setiu (27) dan Hulu Terengganu (19) sejak bermula pandemik Covid-19.

Setakat ini, terdapat 4,297 kes aktif di seluruh Terengganu dan sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan. – BERNAMA

- Advertisement -