Ahli Parlimen PAS gesa kerajaan serius jayakan Undi18

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hak Undi18 bukan sahaja wajib diberikan kerajaan kepada anak-anak muda, tetapi juga kesedaran politik agar golongan ini menunaikan hak tersebut.

Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) berkata, PRN Melaka telah menyaksikan peratusan keluar mengundi yang rendah terutama pada saluran undi anak-anak muda.

- Advertisement -

“Akhirnya, kerajaan di Melaka ditentukan hanya 60 peratus pengundi sahaja. Ya betul, dari sudut demokrasi, ia perlu untuk diiktiraf. Itulah dia demokrasi. Akan tetapi dari sudut realitinya, sebahagian daripada rakyat seolah-olah tidak hirau lagi siapa yang memerintah. 

“Ini berbahaya kepada masa hadapan politik negara,” ujarnya ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 melibatkan Kementerian di peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat, Parlimen, kelmarin.

Beliau menarik perhatian terhadap komitmen dinyatakan pihak kerajaan sendiri terhadap Undi18, namun peruntukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sangat tidak signifikan.

Bagi tahun 2022, SPR diperuntukkan hanya RM6.5 juta berbanding tahun lalu sebanyak RM7.9 juta dan pada tahun 2020, perbelanjaan sebenar adalah sebanyak RM10.2 juta. 

Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) turut menyuarakan kebimbangan sama dalam perbahasannya terhadap usaha menarik minat pengundi anak muda.

Menjadikan peratusan pengundian di PRN Melaka yang lebih rendah daripada dijangkakan SPR sebagai rujukan, beliau menggesa langkah efektif bagi menangani isu tersebut.

“Adakah penurunan ini merujuk kepada hilang minat pengundi, terdapat sabotaj dan sebagainya? Hal ini sangat penting bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang lebih demokratik. 

“Peratusan keluar mengundi yang rendah dikhuatiri akan menyebabkan kerajaan yang akan dibentuk adalah oleh suara minoriti. Sekali gus, tidak menggambarkan sentimen sebenar rakyat,” ujarnya.

Dato’ Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) juga membahas isu sama yang dinyatakannya sebagai soal minat dan kematangan politik golongan muda negara.

“Khusus dalam konteks pentadbiran dan dasar kerajaan. Cuma apa yang saya teliti setakat ini tidak nampak satu pelan tindakan yang jelas terhadap aspek pendidikan politik ini ditekankan oleh kerajaan ketika ini, khususnya kepada golongan muda.

“Berapakah peratus saluran pengundi muda yang turun dalam PRN Melaka baru-baru ini? Apa yang sedang dirangka oleh pihak SPR untuk meningkatkan tahap kesedaran dan partisipasi golongan muda dalam demokrasi di negara ini?” soal beliau.

Ustaz Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) pula mempersoalkan peruntukan pengoperasian SPR yang berkurangan daripada RM154 juta kepada RM18,858,000. 

“Bagi saya ini satu pengurangan yang amat besar. Oleh itu, saya mohon penjelasan pihak kementerian, adakah pengurangan tersebut termasuk dengan program pendidikan pengundi kepada bakal pemilih? 

“Sehingga kini, sejauh manakah kerjasama pihak kementerian dengan Kementerian Pendidikan bagi memastikan program pendidikan tersebut benar-benar berkesan dan bersasar,” ujarnya merujuk kepada Undi18. – HARAKAHDAILY 24/11/2021

- Advertisement -