Undang-undang berkaitan judi harus dinilai semula

- Advertisement -

SAYA merujuk kepada jawapan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Zahidi bin Zainul Abidin di Dewan Rakyat ketika menjawab persoalan di Dewan Rakyat dalam sesi Soal Jawab Lisan pada 15 November 2021 yang lalu.

Beliau menjelaskan bahawa kerajaan berhasrat untuk menggubal suatu akta bagi membenarkan pemberian lesen aktiviti perjudian dalam talian bagi tujuan pemantauan dan menambah hasil pencukaian daripada aktiviti perjudian dalam talian.

- Advertisement -

Saya ingin menegaskan bahawa terdapat kesilapan ‘legislative intention’ terhadap maksud kawal selia aktiviti perjudian dalam talian seperti yang disebutkan oleh YB Timbalan Menteri tempoh hari. 

Jika penggubalan suatu perundangan perjudian dalam talian semata-mata untuk mengutip cukai dan mengawal selia perjudian dalam talian, kelak tidak ada beza judi dalam talian mahupun judi fizikal yang berpremis. 

Sememangnya terdapat kelompongan dalam Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 untuk menguatkuasakan perjudian dalam talian. Namun, bukanlah kelompongan itu diisi dengan kaedah seolah-olah mahu ‘menghalalkan’ perjudian dalam talian.

Sewajarnya aspek penguatkuasaan undang-undang dinilai semula untuk menutup lubang beracun yang merosakkan masyarakat, bukannya mencari jalan untuk terus membiarkannya bertapak dengan berleluasa.

Penggubalan perundangan perjudian dalam talian mestilah atas dasar menghapuskan dan membanterasnya. Pemberian lesen dan kutipan cukai seperti yang dicadangkan bertentangan dengan tentangan orang ramai terhadap bahana aktiviti judi dalam negara. 

Saya juga menyokong penuh tindakan Kerajaan Negeri Kedah yang menghapuskan perjudian 4D serta mengawal penjualan arak di kawasan luar bandar. 

Sesungguhnya, aktiviti berjudi banyak memberi kesan buruk kepada keluarga dan masyarakat, usahlah ‘sudah kalah baru berkubu’. Tanganinya segera sebelum ia terus membarah. 

Sekian, terima kasih.

“Islam Menyatukan Ummah”
Wilayah Sejahtera”

USTAZ AZHAR YAHYA
Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan
23 November 2021 | 18 Rabiulakhir 1443 – HARAKAHDAILY 23/11/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/100064674583009/posts/262578905907927/

- Advertisement -