‘Tuduhan anti-MN, anti-Umno tersasar’ – Ahmad Fadhli

- Advertisement -

ADA yang menyebut bahawa saya anti-MN, anti-Umno. Saya fikir ini kenyataan yang agak tersasar. Saya tidak anti-Umno, jauh sekali anti Muafakat Nasional (MN). Hubungan saya dengan pemimpin-pemimpin Umno khususnya di Parlimen sangat baik, tiada masalah.

- Advertisement -

Bahkan dalam perbahasan di Parlimen, saya memberikan sokongan kepada sahabat-sahabat dari Umno. Ketika MP Jelutong bangkitkan sentiasa isu RM100 juta hadiah kepada MP Pekan, berkali-kali juga saya bangun minta MP Jelutong tidak menyebut isu berkenaan. Bukanlah kerana saya menyokong MP Pekan dalam hal isu RM100 juta itu di mana saya tiada maklumat mengenainya, tetapi topik itu telah disebut dan tidak guna diulang-ulang untuk memesongkan perbahasan semasa.

Beberapa minggu lepas, saya bangun mencelah di hujung ucapan MP Pekan, mohon penjelasan berhubung isu Pulau Batu Putih. Ini kerana sepanjang satu jam perbahasan beliau, tidak disentuh isu ini sedangkan bagi saya, beliau mempunyai maklumat terperinci mengenai isu berkenaan. Selepas ucapan, beliau datang mengucapkan terima kasih kerana membangkitkan isu berkenaan, yang mana bagi saya tidak perlu untuk beliau ucapkan terima kasih, kerana sebaliknya saya yang perlu berterima kasih kerana diberikan peluang mencelah.

Demikianlah hubungan saya dan MP-MP Umno di Dewan Rakyat. Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHH) sering berpesan, dengan MN jangan putus, usahakan juga agar PRU15 nanti tiada pertembungan tiga penjuru. Bagaimana masa depan PAS dan Umno dalam Muafakat Nasional ini, saya tidak boleh jawab kerana saya tidak terlibat antara rundingan dua buah parti ini.

Saya hanya menerima arahan, menerima arah tuju yang ditentukan oleh parti. Secara peribadi, melihat kepada keputusan di Melaka, saya fikir sangat perlu untuk dielakkan pertembungan tiga penjuru di seluruh negara. 

Namun dalam hal berdepan dengan manusia yang suka memesongkan fakta, mengambil kenyataan sekerat dan kemudiannya membuat pemahaman sendiri, lantas menabur persepsi pula atas pemahaman yang dibuat itu, saya fikir orang seperti ini sangatlah tidak berguna untuk politik negara, di dalam parti apa sekalipun.

Manusia seperti ini hanyalah dedalu politik, datangnya langsung tiada faedah, bahkan menambah toksik untuk memastikan dirinya besar dan segar. Saya bukan anti kepada parti tertentu, namun ya, saya sangat anti kepada manusia seperti ini. 

Selamat pagi.

YB USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Pasir Mas – HARAKAHDAILY23/11/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/594749566/posts/10157094629874567/

- Advertisement -