‘Tidak rugi kita berdamping dengan ulama’

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad menyifatkan penerimaan watikah jawatan itu adalah amanah yang perlu dipikul selama dua tahun.

Beliau menerima watikah itu daripada Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, kelmarin.

“Menerima watikah selaku Naib Presiden PAS daripada Tan Sri Tuan Guru kami, Ia satu amanah yang perlu dipikul selama dua tahun,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook beliau, semalam.

Menurutnya, jawatan itu diberi kepercayaan oleh ahli kepada beliau sejak sesi 2015/2017 hingga kini.

Advertisement

“Saya bersemangat apabila Tuan Guru Presiden kami tetap bersemangat,” katanya.

Beliau berkata, rasa malu apabila melihat Tuan Guru dalam keadaan uzur tetap istiqamah hadir mesyurat dan program parti.

Bagi beliau, itulah yang menjadi motivasi kerja untuknya.

“Apabila berada di samping beliau sentiasa menunggu mutiara-mutiara kata yang boleh dijadikan pedoman untuk terus istiqamah dalam gerak kerja jamaah.

“Tidak rugi kita berdamping dengan ulama,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Tuan Guru Abdul Hadi mempengerusikan Mesyuarat Kali Kedua Jawatankuasa Kerja PAS Pusat kelmarin di mana antara perkara yang dibincangkan adalah pelantikan bagi jawatan-jawatan eksekutif berdasarkan peruntukan Fasal 25(4), 25(5) dan 39(4) Perlembagaan PAS, iaitu Ketua Penerangan, Penolong Setiausaha Agung, Ahli Jawatankuasa Dilantik dan Pesuruhjaya PAS Negeri/Wilayah Persekutuan.

Senator Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin dilantik sebagai Ketua Penerangan sementara Penolong Setiausaha Agung ialah Khairul Faizi Ahmad Kamil, Khairul Fahmi Matsom dan Mohd Syahir Che Sulaiman.

Ahli Jawatankuasa yang dilantik terdiri daripada Ustaz Nik Mohamad Abduh Abdul Aziz, Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, Datuk Awang Hashim, Ustaz Misbahul Munir Masduki, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah, Dr. Mohd Mazri Yahya, Wan Rohimi Wan Daud, Dr Mohd Zuhdi Marzuki dan Dato’ Dr Abd. Hakeem Johari.

Pesuruhjaya PAS negeri-negeri pula ialah Mohd Shukri Ramli (Perlis), Senator Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya (Kedah), Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob (Kelantan), Senator Dato’ Ustaz Husin Awang (Terengganu), Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff (Pulau Pinang), Razman Zakaria (Perak), Ustaz Rosli Abdul Jabar (Pahang) Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi (Selangor), Ustaz Azhar Yahya (Wilayah Persekutuan), Rafiei Mustapha (Negeri Sembilan), Ustaz Zulkifli Ismail (Melaka), Ustaz Abdullah Husin (Johor), Paumin @ Mohd Aminuddin Aling (Sabah) dan Jofri Jaraiee (Sarawak). – HARAKAHDAILY 23/11/2021