Tanpa peduli hak kemanusiaan

TINDAKAN kerajaan United Kingdom menyenaraikan Hamas (gerakan Islam Palestin) sebagai pertubuhan pengganas menunjukkan betapa pengaruh Yahudi Zionis yang bertapak dalam kerajaannya. Pelaksanaan daripada inti pati perjanjian Balfour pada tahun 1917 yang sudah berlalu begitu lama masih dihidupkan lagi. Hal ini sekali gus menunjukkan betapa semangat penjajahan yang masih membara dalam kerajaan UK, khususnya terhadap Islam dan para penganutnya.

Tindakan Zionis merompak bumi Palestin dan tetap masih berdegil untuk negara mereka diiktiraf dan dilindungi, tanpa mempedulikan tindakan mereka yang dilakukan secara haram. Malah, keganasan Israel terus dilakukan dengan cara yang lebih agresif, sehingga perbuatan mereka itu berada di luar sifat kemanusiaan sejagat dan melanggar undang-undang antarabangsa.

Keturunan atau zuriat rakyat asal Palestin yang berada sejak berabad lamanya sebelum kedatangan bangsa Yahudi ke situ, telah dihalau begitu sahaja secara kekerasan. Tambahan lagi, rumah-rumah dan kedai-kedai dirobohkan, kebun-kebun dirampas bahkan ada yang dibakar hangus. Apa yang dilakukan oleh Zionis hanyalah semata-mata untuk menempatkan pendatang baharu Yahudi yang diangkut dari seluruh pelosok dunia atas semangat bangsa dan agamanya.

Bumi Palestin ditetapkan oleh Allah SWT hanya layak diberikan kepada bangsa yang menegakkan agama para anbiya’. Tanah suci itu dijadikan tempat berlakunya hijrah Nabi Ibrahim AS (bapa bagi para anbiya’), bukan atas nama kebangsaan Yahudi mahupun kebangsaan Arab. Para anbiya’ AS dikumpulkan di situ dan dilaksanakan Isra’ dan Mi‘raj oleh Rasulullah SAW yang kemudiannya menjadi imam kepada seluruh para anbiya’.  

Advertisement

Tindakan merampas kota suci itu di atas semangat kebangsaan Yahudi dan agamanya oleh kumpulan Zionis yang paling fanatik merupakan suatu perkara yang diharamkan. Tindakan Zionis itu menyebabkan sudah ramai yang mati terkorban atau meringkuk di dalam penjara tertutup atau terbuka, tanpa mengira kalangan orang tua, kanak-kanak, lelaki mahupun perempuan.

Sekiranya para anbiya’ yang mulia pun mereka boleh bunuh, maka apatah lagi manusia biasa. Kezaliman Zionis ini dirakamkan oleh al-Quran dan kitab-kitab yang lain. Inilah sifat bangsa yang paling kufur terhadap ni‘mat Allah SWT dan bangsa yang paling dimurkai oleh-Nya.

Firman Allah SWT:

وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ وَالْمَسْكَنَةُ وَبَاءُوا بِغَضَبٍ مِنَ اللَّهِ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا يَكْفُرُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ النَّبِيِّينَ بِغَيْرِ الْحَقِّ ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ٦١

“Lalu mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan, serta sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan daripada Allah. Hal itu (terjadi) kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan mereka pula membunuh para nabi tanpa alasan yang benar. Demikian itu (terjadi) disebabkan mereka selalu berbuat derhaka dan melampaui batas.” (Surah al-Baqarah: 61)

Hamas disenaraikan sebagai salah satu kumpulan pelampau kerana mereka berjuang sewajarnya bagi menghadapi keganasan yang dilakukan oleh Zionis terhadap Palestin dan rakyatnya. Tanggungjawab bagi mempertahankan Palestin adalah menjadi kewajipan agama dan kemanusiaan.

Sebaliknya, Zionis dan negaranya yang ganas dan bertindak melampau terus dibela dan dipertahankan secara habis-habisan. Keputusan yang diambil oleh kerajaan UK sememangnya sangat mencalar maruah kemanusiaan dan moral semua agama.

Keputusan tersebut turut mencalarkan wajah negaranya, kononnya mendukung hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa. Perkara ini sangat memalukan kerana ia menjadi sifat bagi sebuah negara yang dianggap mempunyai status yang besar. Sehingga mempunyai kuasa veto dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Security Council) yang telah menerima keputusan berasaskan prinsip untuk berpegang kepada piagam hak asasi manusia dan keadilan sejagat.

Tindakan kerajaan UK itu juga mendapat bantahan dalam negaranya sendiri oleh tokoh-tokoh pejuang kemanusiaan yang sebenar dalam kalangan ahli politik, ilmuwan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO). Namun, segala bantahan itu langsung tidak dipedulikan oleh kerajaan yang dikatakan telah dipilih secara demokrasi.

Namun, mereka telah berjaya dibeli oleh pengaruh wang dan media daripada gerakan Zionis yang masih mencipta syaitan-syaitan besar dalam kalangan negara Barat yang terus bertopengkan keadilan dan hak asasi manusia yang dipalsukan.

Bahkan, apa yang dilakukan oleh kerajaan UK itu menunjukkan bahawa moral dan nilai kemanusiaan sudah hilang dalam jiwa para pemimpinnya. Maka, segala keputusan yang dibuat adalah mengikut nafsu penjajah bagi memperhamba sesama manusia yang masih lagi subur dalam rohnya.

Pada hakikatnya, apa yang dilakukan oleh negara haram Israel yang lebih agresif itu adalah tanda hampirnya ajal mereka, bukannya tanda kekuatan dan kemajuan mereka. Hal ini demikian kerana, sebesar-besar binatang yang paling ganas dan agresif tetap menjadi mangsa yang akan mengalami kejatuhannya pada bila-bila masa sahaja, terutamanya apabila mereka semakin mengganas dan melampau.

Oleh itu, negara yang bergantung kepada pengaruh Zionis laksana bergantung pada dahan yang rapuh. Justeru, negara besar sekalipun tetapi bergantung pada dahan yang rapuh pasti akan tumbang atau jatuh bersamanya.

Tindakan agresif Israel itu gagal memadamkan obor kebangkitan Palestin atas nama Islam yang sebenar, malah menghantui negara Barat yang dilanda dengan wabak pandemik Islamofobia. Perjuangan atas nama Islam yang dipikul oleh gerakan Islam seperti Hamas tetap menjadi mangsa untuk diharamkan. Walau bagaimanapun, cahaya Islam gagal dipadamkan sekali-kali, dan kini sudah menembusi benua Eropah dan Amerika.

Cahaya Islam yang gagal dipadamkan oleh Israel itu, sekalipun mereka ialah bangsa yang paling ganas, menepati sabda Rasulullah SAW:

لَا ‌تَزَالُ ‌طَائِفَةٌ ‌مِنْ ‌أُمَّتِي ‌عَلَى ‌الدِّينِ ‌ظَاهِرِينَ، لَعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ، حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللهِ، وَهُمْ كَذَلِكَ.”

“Masih ada secara berterusan dalam kalangan umatku kumpulan yang menegakkan agama (Islam) dengan gagah perkasa mengahadapi musuh, sehingga tidak boleh dimudaratkan oleh penentang mereka, melainkan mereka menghadapi kesusahan, sehingga datangnya ketetapan daripada Allah (membinasakan musuh dan memberikan kemenangan) dalam keadaan mereka meneruskan perjuangan (mereka tidak berganjak).

قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، وَأَيْنَ هُمْ؟

Lalu, para sahabat bertanyakan Rasulullah SAW: ‘Di manakah mereka berada?’

قَالَ: “بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ.”

Sabda Rasulullah SAW: ‘Di Baitul Maqdis dan di sekitarnya.’” (Riwayat Ahmad 22320 dan al-Tabrani 7643)

Hadis di atas mentafsirkan firman Allah SWT:

وَقَضَيْنَا إِلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ فِي الْكِتَابِ لَتُفْسِدُنَّ فِي الْأَرْضِ مَرَّتَيْنِ وَلَتَعْلُنَّ عُلُوًّا كَبِيرًا٤ فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ أُولَاهُمَا بَعَثْنَا عَلَيْكُمْ عِبَادًا لَنَا أُولِي بَأْسٍ شَدِيدٍ فَجَاسُوا خِلَالَ الدِّيَارِ وَكَانَ وَعْدًا مَفْعُولًا٥ ثُمَّ رَدَدْنَا لَكُمُ الْكَرَّةَ عَلَيْهِمْ وَأَمْدَدْنَاكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَجَعَلْنَاكُمْ أَكْثَرَ نَفِيرًا٦ إِنْ أَحْسَنْتُمْ أَحْسَنْتُمْ لِأَنْفُسِكُمْ وَإِنْ أَسَأْتُمْ فَلَهَا فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ الْآخِرَةِ لِيَسُوءُوا وُجُوهَكُمْ وَلِيَدْخُلُوا الْمَسْجِدَ كَمَا دَخَلُوهُ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَلِيُتَبِّرُوا مَا عَلَوْا تَتْبِيرًا٧

“Dan telah Kami tetapkan terhadap Bani Isra’il dalam Kitab itu: ‘Sesungguhnya kalian akan membuat kerosakan di muka bumi ini dua kali dan pasti kalian akan menyombongkan diri dengan kesombongan yang besar.’ (4); Maka, apabila datang saat hukuman bagi (kejahatan) pertama daripada kedua (kejahatan) itu, Kami datangkan kepada kalian hamba-hamba Kami yang mempunyai kekuatan yang besar, lalu mereka menjelajah di segala ceruk kampung-kampung, dan itulah ketetapan yang pasti terlaksana. (5); Kemudian, Kami berikan kepada kalian giliran untuk mengalahkan mereka kembali dan Kami membantu kalian dengan harta kekayaan dan anak-anak; serta Kami jadikan kalian kelompok yang lebih besar. (6); Jika kalian berbuat baik (bererti) kalian berbuat baik bagi diri kalian sendiri dan jika kalian berbuat jahat, maka (kejahatan) itu bagi diri kalian sendiri, dan apabila datang saat hukuman bagi (kejahatan) yang kedua, (Kami datangkan orang-orang lain) untuk menyuramkan muka-muka kalian dan mereka masuk ke dalam masjid, sebagaimana musuh-musuh kalian memasukinya pada kali pertama dan untuk membinasakan sehabis-habisnya apa sahaja yang mereka kuasai. (7).” (Surah al-Isra’: 4-7)

Maka, negara Arab dan Islam yang terpengaruh dengan agenda normalisasi dengan negara haram itu pasti akan menerima nasib yang sama pada bila-bila masa sahaja. Demikian itu disebabkan mereka salah memilih kiblat dalam politik antarabangsa yang berubah dan terus hanyut, walaupun kiblat solat dan haji mereka tidak berubah.

Hanya golongan yang beristiqamah bersama Islam sahaja yang tetap selamat di dunia dan akhirat. Tanpa Islam, pasti akan mendapat kecelakaan di dunia dan akhirat.

Keputusan kerajaan UK yang meletakkan jenama pengganas kepada perjuangan Palestin bagi menegakkan agama dan mempertahankan hak ketuanannya merupakan suatu pencerobohan terhadap keadilan dan hak asasi manusia. Keadaan yang menyentuh perkara paling dasar dan konsep kemanusiaan sejagat.

Maka, negara Islam dan Arab yang benar-benar merdeka dan berdaulat akan tetap bersama perjuangan Palestin yang sah. Bukannya mereka menjadi buah permainan catur Zionis dan sekutu-sekutunya yang menempah kemurkaan Allah yang Maha Berkuasa.  

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 18 Rabi’ul Akhir 1443 / 23 November 2021 – HARAKAHDAILY 23/11/2021