AMPANG: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff mohon kerjasama mangsa banjir kilat berpindah ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) jika diarahkan oleh pihak tertentu demi keselamatan.
Katanya, ini kerana keadaan cuaca yang dikhuatiri akan hujan pada malam nanti.
“Saya difahamkan masih ada lagi mangsa banjir yang belum berpindah ke PPS. Saya mohon mereka pindah segera kerana keadaan cuaca dan dikhuatiri malam ni akan hujan.
“Datanglah ke pusat yang disediakan oleh kerajaan. Bagi memudahkan kami memberi bantuan,” katanya selepas menyantuni mangsa banjir di PPS Dewan Permai, Lembah Permai petang tadi.
Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyediakan kaunselor untuk memberi motivasi kepada mangsa-mangsa banjir.
“Penelitian bantuan seterusnya seperti alatan pembersihan juga sedang dibuat mengikut keperluan semasa,” katanya.
Turut mendapat perhatian adalah keperluan khusus bagi menjaga kebajikan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak.
Beliau memaklumkan JKM membantu menguruskan pemindahan mangsa ke PPS, menyelaras sumbangan NGO, mengagihkan barangan keperluan harian seperti hygiene kit, tuala, bantal, selimut, berus gigi dan sebagainya.

Menurut beliau, pihak JKM memberi bantuan makanan lima kali sehari kepada mangsa-mangsa banjir selain bantuan bakul makanan. – HARAKAHDAILY 23/11/2021