Sistem E-10, faktor Kedah jadi pilihan pelabur

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Sistem E-10 yang kini digunakan oleh Kedah antara penyebab menjadikan negeri itu sebagai pilihan pelabur buat masa kini.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sistem yang telah diperkenalkan oleh Majlis Perbandaran Kulim (MPK) itu merupakan satu permit ekspres istimewa untuk pembinaan yang kini menjadi perhatian Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh Malaysia.   

- Advertisement -

Menurut beliau, melalui E-10, proses pelaburan akan menjadi cepat dan dengan kelebihan itu Kedah menjadi pemenang dalam persaingan berkenaan.

“Bagi pelabur time is money. Mereka tidak boleh tunggu lama, market share akan hilang dan pelanggan akan lari mencari tempat lain. Jadi perkara ini kita kena speed (cepat). Produk E-10 ini menjadi pemangkin utama untuk menarik pelabur di Kedah.

“Seperkara lagi, tanah di Kedah lebih murah berbanding negeri jiran, oleh itu negeri ini menjadi pilihan mereka (pelabur),”  jelas beliau ketika ditemu bual secara langsung melalui Selamat Pagi Malaysia, TV1 (RTM) membicarakan Selangkah Kedah 2035 jam 8.35 pagi, hari ini.

Kata beliau lagi, pelaburan di Kulim Hi-Tech Park (KHTP) begitu memberangsangkan (sehingga tidak cukup tanah) dan terpaksa membuka fasa 4A dan 5 untuk pengambilan tanah dan infrastruktur. 

Fasa 4A kini sudah selesai pengurusannya dengan menggunakan kos dalaman sementara fasa 5 melalui pinjaman Kerajaan Persekutuan.

Sanusi juga menegaskan, salah satu pelaburan di KHTP iaitu Risen Solar merupakan sebuah syarikat mengeluarkan panel solar terbesar di dunia dengan jumlah pelaburannya RM42.2 billion.

“Risen Solar juga merupakan pelaburan tertinggi di Malaysia dan dengan pelaburannya yang begitu besar menjadikan KHTP satu-satunya taman berteknologi tertinggi di Malaysia dan juga berada dalam senarai ‘Top Five’ di Asia,”  jelasnya lagi.

Selain Risen Solar, sebuah syarikat Austria, Multi National kini sedang memberi perhatian kepada KHTP dengan jumlah pelaburan sebanyak RM8.5 billion dan merupakan pelaburan terbesar di luar Austria.

Pelaburan pembuatan kaca untuk panel solar itu kata beliau akan menjadikan Kedah pengeluar panel solar terbesar di Malaysia dan ia merupakan berita gembira buat Kedah.

“Terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia  (MIDA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) yang turut sama membawa nama KHTP dan Kedah ke arena antarabangsa.

“Seperkara lagi, dengan pelaburan pesat itu, ia akan menyediakan berbelas-belas ribu peluang pekerjaan kepada rakyat Kedah dalam tempoh beberapa tahun lagi,” tegas beliau lagi.

Sehubungan itu beliau berkata, warga Kedah tidak perlu lagi merantau jauh meninggalkan kampung halaman untuk mencari pekerjaan, sebaliknya peluang pekerjaan terutama di bidang kemahiran tinggi akan disediakan di negeri itu dalam tempoh terdekat.

“Malah, Tuanku Sultan Kedah juga amat memberi perhatian kepada hal ini agar anak-anak perantau Kedah dapat kembali mencurahkan bakti di negeri sendiri,” ujarnya.

Selain itu Sanusi juga menegaskan, kerajaan negeri kini  dalam usaha mengeluarkan imej Kedah yang dikenali sebagai  negeri pertanian sejak beratus tahun lalu, selain keluar dari kemiskinan dengan memanfaatkan pelbagai sumber ekonomi yang ada.

“KHTP yang diwujudkan sejak 16 tahun lalu akan diteruskan dan usaha menjadikan Kedah sebagai kuasa ekonomi utara  di Semenanjung, akan diperjuangkan bersama barisan Exco, pegawai-pagawai kerajaan dan kakitangan kerajaan negeri serta membuktikan Kedah juga mampu menjadi seperti negeri lain.

“Namun,  semua itu perlu dilakukan serta bekerja dengan bersungguh-sungguh, jangan main-main. Kerja juga medan perjuangan terutama untuk mencapai garisan 2035. Buktikan Kedah boleh,”  katanya. – HARAKAHDAILY 23/11/2021

- Advertisement -