Peluang TFC ke final Piala Malaysia masih terbuka

- Advertisement -

KUALA NERUS: Peluang untuk skuad Penyu melangkah ke final Piala Malaysia masih terbuka biarpun sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini semalam.

Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain berkata masih belum masanya untuk menyerah kerana pasukan bimbingannya sebelum ini pernah mara ke perlawanan akhir pada 2018 selepas menewaskan JDT 3-1.

- Advertisement -

Katanya, persiapan terbaik perlu dilakukan apabila skuad bimbingannya dengan bekalan satu gol akan bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bharu, Jumaat ini.

“Perancangan awal memang untuk elak daripada bolos. Tetapi itulah bola sepak dan kita akan perbaiki kesilapan di pusingan kedua nanti.

“Bagi saya keputusan seri pada malam ini masih baik. Peluang juga masih terbuka luas, tetapi di sana nanti (Johor Bharu) kita perlu menyerang dan jaringkan lebih gol untuk mara ke peringkat akhir,” katanya selepas perlawanan pusingan pertama separuh akhir Piala Malaysia menentang JDT di sini, malam tadi.

Selain itu, Nafuzi berkata beliau berpuas hati dengan prestasi pemain muda yang beraksi dengan baik apabila diberi peluang bermain di pentas pertandingan paling berprestij di Malaysia.

Sementara itu, ketua jurulatih JDT Benjamin Mora berkata beliau memang menjangkakan tentangan hebat daripada skuad Penyu yang pastinya mahu mencari bekalan selesa untuk dibawa ke Johor Baharu Jumaat ini.

Beliau juga berpuas hati dengan persembahan anak buahnya biarpun  pulang dengan satu gol yang disifatkan sebagai mata berharga.

“Perlawanan malam tadi adalah satu perlawanan yang sukar. Kita tahu Terengganu akan berlawan bersungguh-sungguh dan mereka telah membuktikannya.

“Kita tidak bermula dengan baik pada 10 hingga 15 minit terawal dan bolos. Tapi kami perbaiki keadaan pada separuh masa kedua dan satu gol ini sangat berharga buat pasukan kami,” katanya yang sudah lima musim bersama JDT. – BERNAMA

- Advertisement -