PAS dan Umno bersama gerak aktiviti masyarakat

- Advertisement -

MARAN: PAS dan Umno telah menggerakkan kesepakatan dalam menjalankan aktiviti dan program bersama ke atas masyarakat termasuk di masjid baharu dan lama di Kampung Batu 13, di sini.

- Advertisement -

Ketua PAS Cawangan Jengka Batu 13, Mohamad Ropi Abdul Rahman memberitahu, malah hubungan Muafakat Nasional kedua parti berjalan dengan baik yang diharap menjadi contoh dan ikutan.

Menurut beliau, program dan aktiviti kini kembali dihidupkan setelah tergendala akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, antaranya gotong-royong dan membersihkan kawasan perkuburan setiap bulan.

Juga lawatan ke atas golongan asnaf seperti miskin, orang kelainan upaya, sakit, warga emas, armalah dan anak yatim (MOSWAY), ziarah ibu bersalin dan menyampaikan sumbangan kepada yang memerlukan.

“Turut dihidupkan kembali adalah usrah PAS Cawangan dan kuliah pengajian agama di kedua-dua masjid (baharu dan lama). Insya-Allah, kuliah bulanan YB Ustaz Mujibur Rahman juga akan dimulakan kembali,” maklumnya.

Perkara itu dibentangkan beliau semasa memberi taklimat ketika menerima lawatan pimpinan PAS Kawasan Maran ketika ziarah kedua dalam siri lawatan ke semua PAS Cawangan, di sini Sabtu lalu.

Pimpinan PAS Maran yang berada dalam lawatan ini adalah Yang Dipertua dan Timbalan serta Naib Yang Dipertua, Ustaz Ramli Awang Abdul Rahman dan Ustaz Mujibur Rahman Ishak serta Mohd Sofian Abdul Jalil.

Ustaz Ramli dalam ucapannya menyeru agar program dalaman dan bersama masyarakat yang diadakan dapat diteruskan, selain tidak meminggirkan aktiviti untuk Pemuda dan Muslimat di Cawangan itu.

“Semua kerja kita ini akan dicatat para Malaikat dan semoga ia menjadi saham untuk kita di Akhirat kelak. Ketahuilah, dalam mencari redha Allah dan mengharap natijah yang baik, kita kena berusaha dan bersedia dengan jentera serta kekuatan kita sendiri,” nasihatnya.

Ustaz Mujibur Rahman yang juga ADUN Chenor pula memuji usaha dilaksanakan PAS Jengka Batu 13 ke atas masyarakat setempat di mana perlu terus dilangsungkan dalam memenuhi tujuan tarbiyah, dakwah dan siyasah.

Manakala Mohd Sofian yang juga ADUN Luit mengingatkan untuk memastikan pendaftaran pemilih melibatkan anak-anak ahli, selain menggerakkan kempen berkaitan pilihan raya.

Turut bersama adalah Ketua Pemuda dan Muslimat PAS Maran, Ustaz Abdul Latif Abdul Halif dan Ustazah Saholyatul Akma Jusoh di mana telah juga meluangkan kesempatan berucap pada pertemuan itu.

Antaranya ingatan mereka supaya golongan muda terus didedahkan dengan politik Islam, serta pemerkasaan usrah dan aktiviti berfaedah berbanding terlibat aktiviti hiburan yang melalaikan dan merugikan.

Sempena lawatan itu juga, pimpinan PAS Maran telah menyantuni beberapa veteran PAS dan penduduk setempat yang uzur. – HARAKAHDAILY 23/11/2021

- Advertisement -