MP Jerai: Bilangan Pegawai Perpaduan perlu ditambah

Ustaz Sabri Azit
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara perlu menambah bilangan kakitangan agensi kementerian itu di peringkat akar umbi berikutan beban tugas yang semakin berat.

Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit, berkata daerah Kuala Muda dalam Parlimen Jerai mempunyai enam kakitangan, manakala daerah Yan hanya mempunyai dua kakitangan.

- Advertisement -

“Bayangkan dua pegawai perlu mengelola 45 Kawasan Rukun Tetangga (KRT), suatu perkara yang agak berat. Kita minta kerajaan mengkaji semula penambahan kakitangan di setiap pejabat.

“Kekurangan kakitangan menyebabkan kekangan untuk menjalankan kerja pejabat, kerja pemantauan 180 rumah ibadat dan 124 KRT di seluruh Kuala Muda,” katanya ketika perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Belanjawan 2022 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perpaduan Negara, di Dewan Rakyat, hari ini.

Sabri berkata, Kementerian Perpaduan Negara juga perlu menyemak semula kenaikan pangkat Pegawai Perpaduan yang sudah lama berkhidmat, tetapi masih di gred yang sama.

“Saya memohon kementerian menyatakan sejak bila kenaikan pangkat Pegawai Perpaduan tidak disemak,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih terhadap Program Bakul Makanan Kementerian Perpaduan Negara yang diterima baik oleh masyarakat.

Namun, katanya peruntukan Bakul Makanan perlu dinaikkan bagi setiap daerah supaya semua lapisan masyarakat yang memerlukan bantuan dapat diberi perhatian yang lebih baik.

Bagi program pembangunan sosioekonomi masyarakat India di Parlimen Jerai, beliau mengucapkan tahniah kepada Kementerian Perpaduan Negara kerana pelaksanaan Program Bakul Makanan dibuat secara telus.

“Pegawai Perpaduan turun padang ke lokasi dan membuka kotak sendiri untuk melihat berapa banyak item yang ada. Oleh itu, bagi memastikan sasaran yang diberikan tepat bagi masyarakat India, kita minta Bakul Makanan perlu ditambah untuk masyarakat India,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/11/21

- Advertisement -