Judi: Kerajaan Kedah tidak berganjak

ALOR SETAR: Kedah tetap dengan keputusannya tidak lagi mengeluar dan membaharui lagi lesen premis judi di negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya bertindak mengikut bidang kuasa dan undang-undang sedia ada.

“Saya tak mahu kata apa dah. Kita akan buat ikut bidang kuasa dan undang-undang sedia ada,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Minggu lepas Sanusi mengumumkan kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak akan memperbarui lagi lesen premis judi di negeri itu.

Advertisement

Langkah tersebut mendapat sokongan pelbagai pihak bagi mengurangkan kes jenayah dan gejala sosial kesan daripada kegiatan perjuadian.

Bagaimanapun usaha terbabit ditentang pembangkang terutamanya DAP apabila turut membantu empat individu yang mahu mencabar tindakan kerajaan negeri kerana enggan memperbaharui lesen perjudian.

Individu terbabit diwakili pemimpin DAP Ramkarpal Singh, yang juga menyifatkan tindakan Menteri Besar Kedah itu sebagai tidak munasabah.

Sanusi juga berkata, beliau membuat keputusan itu berdasar undang-undang.

“Kelantan dan Terengganu juga membuat tindakan serupa. Tiada pun halangan untuk mereka mengambil tindakan menutup premis judi,” katanya pada kenyataan baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 23/11/2021