Hapuskan stigma terhadap penagih, mereka bukan penjenayah

Foto hiasan.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Baru-baru ini, masyarakat dikejutkan dengan berita seorang pelatih di pusat pemulihan dadah di Kubang Pasu, Kedah, maut dipercayai akibat dibelasah oleh seorang warden.

Dilaporkan pelatih lelaki berusia 31 tahun itu dipijak di leher, dadanya dipukul selain ditendang tanpa belas kasihan selepas dia ditangkap kerana melarikan diri dari pusat tersebut. Lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Jitra.

- Advertisement -

Benar, mangsa adalah pesalah mengikut undang-undang kerana terbabit dalam penagihan dadah, namun wajarkah dia diperlakukan seperti penjenayah kejam yang tidak layak dikasihani?

Menurut pakar kesihatan mental, insiden itu memberi gambaran tentang stigma masyarakat terhadap penagih dadah sekalipun Klasifikasi Penyakit Antarabangsa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 1994 menyatakan masalah ketagihan terhadap sesuatu bahan merupakan gangguan mental dan penyakit kronik yang mudah berulang.

Ketagihan terhadap dadah seperti juga ketagihan merokok, berjudi, pornografi dan lain-lain yang perlu dirawat dan dibantu agar mereka boleh kembali ke pangkuan masyarakat, kata mereka.

Diskriminasi

Menyifatkan diskriminasi terhadap penagih dadah di negara ini pada tahap membimbangkan, Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS) Dr Rusdi Abd Rashid berkata antara faktor yang menyumbang kepada keadaan itu ialah dasar negara sebelum ini yang menerapkan pendekatan “total abstinence” atau bahasa mudah, menjauhkan diri sepenuhnya daripada terbabit dalam penggunaan bahan atau kelakuan yang boleh menyebabkan ketagihan.

Dalam pelaksanaan pendekatan itu, golongan yang terlibat dikenakan tindakan mengikut undang-undang.

“Sejak bertahun lalu, pusat serenti atau pusat pemulihan menerima pelatih secara ‘court order’ (perintah mahkamah) iaitu secara paksaan untuk menjalani ‘compulsory rehabilitation’ (pemulihan wajib) selama dua tahun yang tidak banyak bezanya seperti di penjara.

“Selepas dibebaskan, pelatih membawa stigma ‘post-serenti syndrome’  (bekas penghuni pusat serenti) seumur hidup yang mana mereka dilabelkan sebagai bekas penjenayah. Golongan ini menghadapi kesukaran untuk kembali bekerja, menyambung pelajaran dan masyarakat pula menganggap mereka sebagai sampah yang mana keluarga sendiri pun sukar menerima,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, situasi sedemikian menghalang golongan tersebut kembali semula ke pangkuan masyarakat sedangkan penerimaan dan sokongan komuniti antara kunci utama dalam usaha memulihkan sepenuhnya bekas penagih berkenaan.

Mengulas mengenai insiden di Kedah itu, Rusdi berkata sudah tiba masa untuk pihak yang berkenaan bermuhasabah diri dan menilai semula selain menyiasat punca sebenar pelatih cuba melarikan diri daripada menjalani aktiviti pemulihan di pusat pemulihan.

Beliau juga menganggap tragedi tersebut sebagai sangat serius kerana berisiko “membunuh” kepercayaan yang diberikan oleh keluarga pelatih kepada pihak berkuasa untuk menjaga kebajikan dan merawat saudara mereka sehingga pulih.

“Harapkan pegar, pegar makan pagi. Itulah yang boleh dikaitkan dengan insiden pelatih dipukul sehingga mati oleh warden. Penagih dadah adalah pesakit,  bukannya penjenayah, jadi tidak sepatutnya dipukul sehingga mati.

“(Dalam hal ini) tanyalah diri sendiri, mahukah kita masuk ke pusat serenti atau menghantar sanak saudara ke pusat pemulihan dadah sekiranya beginilah kesudahannya,” katanya.

Nyah jenayah

Kerajaan menyedari akan keperluan ini dan usaha sedang diambil bagi mengubah dasar tersebut agar penagih dadah tidak lagi dilabel atau dihukum sepertimana penjenayah.

Pada Jun 2019, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi melaksanakan nyah jenayah terhadap kesalahan menagih dadah, iaitu penagih dadah tidak lagi dilihat sebagai pesalah jenayah yang perlu dihukum, sebaliknya pesakit yang memerlukan rawatan dan pemulihan.

Pendekatan itu bertujuan mengintegrasikan golongan tersebut ke dalam komuniti menerusi program rawatan dalam komuniti dengan memperkasakan peranan ahli keluarga dan masyarakat.

Selain itu, media pada September lepas melaporkan KDN dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyediakan draf Rang Undang-Undang Penyalahgunaan Dadah dan Substan (Pencegahan, Rawatan dan Pemulihan) bagi menggantikan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin dipetik berkata sebelum membentangkan rang undang-undang itu di Parlimen, KDN akan memperuntukkan waktu mencukupi bagi mengadakan sesi libat urus untuk mendapatkan maklum balas menyeluruh daripada semua pihak berkepentingan termasuk badan bukan kerajaan.

 “Ini untuk memastikan akta baharu akan merangkumi aspek perundangan lebih komprehensif, tersusun dan membolehkan lebih ramai penagih dadah dan substan dapat menerima rawatan dan pemulihan sewajarnya,” kata Hamzah.

Usaha ini dilihat bertepatan pada masa memandangkan pendekatan pengurangan risiko dalam menangani kemelut dadah ataupun memulihkan mereka mungkin tidak berhasil selagi golongan itu dilabelkan sebagai penjenayah.

Menyifatkan peranan komuniti dan keluarga itu penting, Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) dan pakar merawat ketagihan dadah Dr Al-Zilal Abdul Wahid berkata nyah jenayah penagih akan memberikan lebih banyak ruang kepada keluarga dan masyarakat untuk mendorong penagih mendapatkan rawatan tanpa berasa takut dikenakan hukuman.

“Bukan kehendak mereka untuk jadi penagih. Mereka berada dalam keadaan sukar dan menggunakan substan sebagai cara untuk terus bertahan. Namun tindakan itu menyebabkan mereka menjadi penagih. Kita sepatutnya tolong mereka, bukan diskriminasikan mereka,” katanya.

Perlu holistik

Menurut Dr Mohd Fadzli Mohd Isa, seorang lagi AJK MPA, usaha memulihkan penagih dadah memerlukan rawatan yang holistik, iaitu meliputi aspek biologi, psikologi dan juga sosial.

Jelas beliau, usaha itu membabitkan penilaian perubatan dan penggunaan ubat-ubatan bagi menstabilkan gejala penarikan (withdrawal) dan mencegah kejatuhan semula (relapse), merawat komplikasi fizikal seperti penyakit berjangkit dan penyakit kronik.

Ini termasuk merawat komplikasi kesihatan mental akibat penggunaan dan penagihan dadah seperti kemurungan, kegelisahan mahupun gejala psikosis seperti delusi ataupun halusinasi.

“Pendekatan psikologi pula membabitkan terapi pertuturan untuk menangani dan mengubah cara pemikiran yang negatif dan seterusnya mengubah tingkah laku seseorang pengguna atau penagih itu.

“Terapi pertuturan yang berkala dan berstruktur lebih efektif dalam jangka panjang serta lebih selamat dan berperikemanusiaan jika dibandingkan dengan pendekatan menghukum dan menahan,” katanya yang merupakan pakar merawat ketagihan dadah.

Menurutnya kaedah rawatan itu perlu dipertimbang oleh pusat pemulihan, selain memastikan petugas mempunyai pengetahuan dan kemahiran berkaitan  masalah penagihan dan intervensi yang diperlukan bagi mencetuskan perubahan dalam diri seseorang penagih. 

Tegas beliau, walau apapun tugas seseorang di pusat pemulihan, mereka perlu cakna terhadap sebarang perubahan mental dan fizikal pelatih sepanjang menjalani rawatan.

“Maka saya berpendapat amat penting dipastikan hanya individu yang betul-betul sesuai dan berminat dalam pengendalian isu penagihan sahaja diambil bertugas,” katanya.

Selain itu, pendekatan sosial juga penting bagi memastikan keperluan asas seseorang pelatih dapat dipenuhi, antaranya tempat tinggal dalam masyarakat, peluang pekerjaan dan peluang mendapatkan kekuatan rohani selain kebebasan mengembangkan potensi diri.    

Katanya kaedah rawatan tersebut boleh dilakukan dalam komunti di mana penagih dadah boleh tinggal di kediaman masing-masing dan dekat dengan keluarga mereka.

“Ini lebih baik dari segi pemulihan insani dan peribadi serta lebih menguntungkan dari segi kewangan kerana tiada keperluan untuk menahan mereka di fasiliti yang memerlukan perbelanjaan pembangunan infrastruktur dan kewangan untuk menampung keperluan mereka ketika ditahan,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -