Guru tumpu usaha tarik semula minat murid ke sekolah

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Hampir 100 peratus pelajar Sekolah Rendah Islam Al Furqan (SRIAF)
hadir pada sesi persekolahan secara bersemuka yang bermula semalam.

Guru Besar SRIAF, Azmal Zaid Ahmad Azmi berkata, kebanyakan murid-murid teruja hadir ke sekolah kerana hampir setahun mereka belajar secara atas talian di rumah.

“Saya lihat kehadiran semalam mencapai 98 peratus menerusi sistem penggiliran yang kita lakukan.

- Advertisement -

“Murid-murid juga dilihat gembira dan teruja dapat berjumpa kawan-kawan dan bersemuka dengan guru-guru,” katanya di sini.

Menurut beliau, murid-murid dibahagi kepada dua kumpulan iaitu kumpulan A dan kumpulan B, di mana mereka datang ke sekolah secara bergilir-gilir. Jumlah keseluruhan pelajar 391 orang.

Katanya pada minggu pertama, murid kumpulan A hadir bagi memastikan setiap kelas hanya dihadiri separuh sahaja pelajar.

Menurutnya juga aktiviti pembelajaran ditumpukan kepada untuk usaha menarik semula minat murid-murid setelah lama mereka tidak belajar secara bersemuka.

“Contohnya setiap pelajaran, kita akan lakukan kuiz atau permainan dan ulangkaji semula pelajaran memandangkan ada dalam kalangan murid ketinggalan semasa belajar atas talian,” ujarnya.

Azmal Zaid juga berkata, guru-guru dan ibu bapa pelajar memberi kerjasama yang baik sebelum dan semasa proses pembukaan semula sekolah.

Kata beliau guru membuat persiapan pembukaan sekolah sejak seminggu lalu.

“Guru pula lebih mudah mengawal murid disebabkan hanya separuh yang hadir seperti ditetapkan, manakala pelajar di rumah mengikuti kelas secara atas talian,” katanya.

SRIAF dan Sekolah Rendah Islam At-Taqwa (SRIAT) diselia Perhubungan PAS Perlis, menggunakan sukatan pelajaran Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI). – HARAKAHDAILY 23/11/2021

- Advertisement -