Cinta di langit Kabul, apa ada pada cinta? (Siri V)

- Advertisement -

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR

LANGIT lazuardi menaungi Kota Kabul yang berselimut kejerihan, angin dingin seperti menyimpan duka beratus tahun. Kesejukan seolah menambat tiang hati kita pada rawan yang panjang, entahlah bagaimana kita menakrifkan erti musim sejuk.

Bagi yang mempunyai banyak wang, musim sejuk mencengkam hanyalah perubahan alam. Kelompok rakyat jembel pula, skru akal mereka pasti memikirkan baju sejuk, dapur yang berasap serta penginapan yang memadai kerana malam mereka sangat panjang. Anak muda atau separuh baya mungkin menganggap musim dingin adalah musim mengawan, berhibernasi dan seterusnya menunggu tempoh sembilan bulan untuk acara tahnik anak bongsu terbaru!

- Advertisement -

Mataku memandang dan menatap kosong pada sekumpulan anak-anak kecil yang ada di mana sahaja ruang Kota Kabul ini. Ada sejumlah 1.5 juta anak yatim, juga dua juta ibu tunggal di negara yang bergelut dengan peperangan selama empat dekad.

Keamanan seolah satu nikmat shurga dunia bagi mereka, menghurung angka kematian bukanlah sesuatu yang luar biasa. Minggu ini beberapa letupan bom berlaku di kota Kabul bagi mengesahkan negara ini belum lagi aman. Lelaki berserban hitam, malah beruniform tentera mengawal ketat pergerakan manusia. Dijalanan, pemandangan kenderaan pacuan empat roda dengan senjata JPMG adalah perkara biasa.

Mengatakan Afghanistan telah aman sepenuhnya adalah seperti mengatakan Madonna masih perawan! Bagiku kanak-kanak adalah kelompok paling terjejas. Seawal pagi mereka menghiasi setiap lorong kota, berjualan apa sahaja yang boleh dijual.

Di pekan sempadan Iran Afghanistan, Islam Kala akan menyaksikan ratusan kanak-Kanak tanpa pendidikan menjadi kuli kasar pengangkut bagasi. Mereka memenuhi bangunan imegresen, kawasan “no man land”, tanpa segan meminta sedikit wang untuk mengalas perut yang lapar. Kanak-Kanak ini agresif, seolah “abang Long” kawasan yang berkongsi kuasa dengan kerajaan Toliban.

Aku teringatkan kanak-kanak di Gaza yang beradab dengan tetamu, mempamerkan guratan wajah terhias senyuman, berkongsi makanan seperti kek atau coklat yang diagihkan. Kanak-kanak Afghanistan adalah cermin sketsa peperangan, ramai kalangan mereka adalah anak yatim termasuk sahabat baru kami Abdul Rahim yang kehilangan bapa kandungnya saat berumur dua tahun. Tak pelik jika pensyarah kampus ini begitu obses untuk membantu anak yatim.

Afghanistan rasa aku jika tak dikawal oleh kerajaan bernuansa Islam, keadaan negara bergunung-ganang ini sukar untuk mencicip keamanan. Multi etnik di sini seperti Pashtun, Tajik, Uzbek, Hazara, Baluch paling sukar untuk bersatu, memang mereka diakui bangsa pemberani namun itu tak cukup untuk membangunkan sebuah negara.

Aku teringatkan intipati pertemuan dengan Timbalan Presiden IHH Turki suatu ketika di Kota Istanbul, “Kanak-kanak adalah generasi masa depan yang akan membina negara, sebab itulah kami mempersiapkan Kompleks Pendidikan Madinatul Aitam di Rayhanli.

Mereka adalah kelompok paling terjejas akibat peperangan Syria bila berakhir peperangan mesti dibangunkan kembali, maka pendidikan wajib diberikan kepada kanak-kanak mangsa peperangan”, seolah berdengung kepala aku dengan ingatan tulus itu.

NGO Turki adalah barisan paling hadapan membantu umat Islam di pelbagai peta luka umat, mereka bukan sahaja melapik perut insan yang susah namun paling penting ialah membina banyak rangkaian pendidikan.

Malangnya di Afghanistan terkini, banyak institusi pendidikan di peringkat tinggi telah ditutup akibat kekurangan dana. Sekatan antarabangsa terhadap Afghanistan seperti membunuh masa depan kanak-kanak, dunia Islam wajib berbuat sesuatu agar pemulihan negara skala mega dapat dilaksanakan.

Kanak-Kanak Afghanistan yang aku temui dan lihat dalam misi kemanusiaan Afghanistan kali ini sangat menderita. Musim sejuk mencengkam, namun pakaian mereka tak sempurna, tak sempurna gizi makanan, paling aku sedih apabila mereka tak dapat membaca serta menulis.

Unjuran masa depan dapat kita tebak bila keadaan ini berlaku, sebuah negara yang diasosialisasi dengan Islam namun menjadi negara paling mundur dalam dunia. Impaknya akan terpaling hitam kepada agama Islam yang maha indah.

Musuh Islam melakar konspirasi besar untuk memastikan negara ini terpuruk kebelakang, memalit rupa hodoh kepada penganut agama Islam dan inilah asas mengapa Afghanistan menjadi “bogey” dalam permainan media antarabangsa.

Untungnya bumi Afghanistan, walaupun dijajah oleh kuasa adijagat dunia namun mereka tak mampu membogelkan maruah wanita Afghanistan. Kita tak akan jumpa wanita mundar-mandir tanpa alasan, juga kanak-kanak perempuan meminta sedekah. Adab budaya mereka juga sangat menjaga maruah wanita, tiada wanita menjual maruah diri di kawasan gelap Kota Kabul atau Herat.

“Untuk menghancurkan sesuatu tamadun, maka hancurkan wanita mereka”,ohh aku lupa ungkapan siapa!

Pengalaman menggalang misi kemanusiaan di pelbagai peta luka umat Islam, boleh aku sifatkan pengalaman di tanah Khurasan ini paling berhàrga. Tanpa menafikan indahnya pengalaman di Gaza, namun misi kemanusiaan Afghanistan sangat rencam dan bewarna warni.

Pelbagai acara digalang untuk mengisi setiap inci masa, pertemuan dengan kelompok jaringan sivil Afghanistan, menyantuni masyarakat paling dhaif, pecah tanah masjid rakyat Malaysia, agihan makanan asasi serta pelbagai program yang lain.
(Bersambung)

(Penulis merupakan anggota misi bantuan Afganistan Muslim Care Malaysia, pendakwah bebas dan penulis)HARAKAHDAILY 23/11/2021

- Advertisement -