Apa kita mohon bila berdoa?

APAKAH perkara yang biasa kita minta dengan Allah S.W.T apabila kita berdoa? Adakah kita memperbanyakkan meminta habuan dunia tetapi kurang berdoa agar Allah S.W.T menetapkan kita di dalam agama-Nya? 

Advertisement

Marilah kita lihat apa yang diminta oleh Rasulullah S.A.W apabila Baginda berdoa. Daripada Syahr bin Hausyab, katanya:

قُلْتُ لأُمِّ سَلَمَةَ : يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ مَا كَانَ أَكْثَرُ دُعَاءِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ عِنْدَكِ ؟ قَالَتْ : كَانَ أَكْثَرُ دُعَائِهِ : يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ قَالَتْ : فَقُلْتُ : يَا رَسُولَ اللهِ مَا لأَكْثَرِ دُعَائِكَ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ ؟ قَالَ : يَا أُمَّ سَلَمَةَ إِنَّهُ لَيْسَ آدَمِيٌّ إِلاَّ وَقَلْبُهُ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللهِ ، فَمَنْ شَاءَ أَقَامَ ، وَمَنْ شَاءَ أَزَاغَ.

“Aku pernah bertanya kepada Ummu Salamah: “Wahai Ummul Mukminin! Apakah doa Rasulullah S.A.W yang paling banyak apabila Baginda S.A.W di sisi engkau?” Beliau menjawab: “Doa Baginda S.A.W yang paling banyak adalah: (يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ) “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.” Ummu Salamah berkata: “Aku pernah berkata kepada Rasulullah S.A.W: “Wahai Rasulullah! Betapa sering engkau berdoa: يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ.” Lalu Baginda S.A.W menjawab: “Wahai Ummu Salamah! Sesungguhnya tidak ada seorang anak Adam pun melainkan hatinya berada di dalam genggaman kekuasaan Allah. Barangsiapa yang Allah kehendaki, maka Dia akan meluruskannya dan barang siapa yang Allah kehendaki maka Dia akan membelokkannya.””

[Riwayat Imam Ahmad (26679) dan al-Tirmizi (3522). Syeikh Syu‘aib al-Arna‘ut menyatakan hadis ini Sahih]

Sedangkan Rasulullah S.A.W yang maksum pun sering berdoa agar ditetapkan hatinya dalam Islam, inikan pula kita yang sering melakukan dosa. 

Marilah kita amalkan doa ini agar Allah S.W.T tidak memesongkan hati kita daripada Islam. Selepas itu, barulah kita berdoa agar dikurniakan nikmat dunia, kesihatan dan keselesaan hidup. 

Takut-takut nikmat dunia yang dikurniakan kepada kita boleh bertukar menjadi bala dan bencana tanpa Islam di dalam hati kita. Semoga doa-doa kita dikabulkan oleh Allah S.W.T. Amin.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 23/11/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/100050311487174/posts/450656739954705/