Akhirnya berkesempatan ziarah Ketua Pengarang Harakah cetak

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE dan HANIFF ABDUL RAHIM

SEREMBAN: Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu, Bakri Jamaluddin menzahirkan kesyukuran kerana akhirnya dapat menziarahi Ketua Pengarang Harakah Cetak, Wan Nordin Wan Yaacob.

“Iyalah, bila saya dapat perkhabaran beliau sakit pada masa itu kita sedang sibuk dengan persediaan untuk mesyuarat agung cawangan, kawasan, kemudian Muktamar PAS Pusat pula.

- Advertisement -

“Diikuti dengan berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Kita perlu berkempen hampir dua minggu. Jadi hari ini baru dapat menziarahi beliau. Alhamdulillah hari ini saya sampai di rumah beliau setelah sekian kali tertangguh,” ujar beliau.

Bakri yang juga merupakan mantan Ketua Penerangan PAS Melaka berkata demikian kepada Harakahdaily ketika melakukan kunjungan tersebut di rumah Ketua Pengarang Harakah cetak itu di Bandar Sri Sendayan, pagi tadi.

Beliau turut mendoakan agar kesihatan Wan Nordin bertambah baik selepas menjalani pembedahannya nanti.

“Saya dimaklumkan bahawa beliau akan menjalani pembedahan tidak lama lagi bagi masalah usus dan severe gerd kronik yang beliau hidapi ini.

“Semoga beliau akan cepat sembuh dan boleh bertugas di Harakah semula dengan lebih baik pada masa akan datang. Seperti sebelum ini,” ujar beliau lagi selain turut menyerahkan sedikit sumbangan peribadi bagi meringankan beban kos rawatan Wan Nordin.

Sementara itu Wan Nordin melahirkan rasa gembira atas kehadiran Bakri bersama dengan Ahli Jawatankuasa Jabatan Penerangan PAS Melaka, Haniff Abdul Rahim.

“Memang sudah lama kita rancang nak bertemu. Sama ada mereka datang ke rumah saya atau saya ingin melawat pejabat Jabatan Penerangan PAS Melaka di Ayer Keroh.

“Tapi selalu tak kesampaian. Ada sahaja halangan. Alhamdulillah hari ini dapat juga berjumpa dengan sahabat-sahabat dari Melaka,” ujarnya ceria walau pun sedang dalam keadaan uzur. – HARAKAHDAILY 23/11/2021

- Advertisement -