Wartakan tarikh PRU lebih awal

Ahli Parlimen Tumpat, Dato' Che Abdullah Mat Nawi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi, mencadangkan kerajaan supaya mewartakan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) lebih awal, iaitu sekurang-kurangnya enam bulan dari tarikh pilihan raya.

Katanya, ini bagi memberi peluang kepada semua pihak terlibat dapat bersedia menghadapinya, apatah lagi dalam suasana norma baharu yang memerlukan perancangan lebih rapi.

- Advertisement -

Sementara itu, katanya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka merupakan suatu penanda aras kepada pelaksanaan PRU15 yang akan diadakan dalam norma baharu, sesuai dengan pasca pandemik.

“Sudah tentu pelbagai aspek penambahbaikan dapat diteliti sepanjang proses PRN Melaka berlangsung untuk pelaksanaan PRU15 nanti,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

Che Abdullah juga memohon penjelasan kerajaan berhubung aspek penambahbaikan terhadap proses kawal selia operasi PRU15 yang bermula dari penamaan calon, siri kempen, sehingga hari pengundian bagi memastikan perlaksaan PRU tidak memberi kesan secara langsung terhadap kadar jangkitan Covid-19 di seluruh negara.

“Oleh kerana PRU15 berlangsung di seluruh negara, justeru itu amat wajar untuk kita menyediakan satu bentuk kawal selia operasi prosedur yang ketat bagi memastikan semua pihak mematuhi garis panduan yang disediakan, sekali gus memastikan pengawalan terhadap kadar jangkitan Covid-19 dalam negara,” katanya.

“Saya ingin bertanya mengenai aspek pemantauan dan penguatkuasaan kempen sepanjang PRU berlangsung. Adakah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai badan pemantau yang khusus untuk menilai pematuhan calon yang bertanding dan parti politik terhadap sebarang peraturan pilihan raya,” katanya.

Selain itu, katanya mengulas mengenai Undi 18, antara perkara yang dibangkitkan oleh orang ramai ialah mengenai soal minat dan kematangan politik golongan muda terhadap PRU. – HARAKAHDAILY 22/11/21

- Advertisement -