PAS syukur Melaka tidak jatuh ke tangan PH

ARAU: Rundingan untuk menyatupadukan ketiga-tiga parti (PAS, Umno dan Bersatu) tetap akan terus dilakukan demi mencapai matlamat penyatuan ummah bukan sahaja sekadar untuk pilihan raya.

Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Ustaz Hashim Jasin, berkata Umno adalah sahabat PAS dalam Muafakat Nasional (MN), begitu juga Bersatu menerusi Perikatan Nasional (PN).

“PAS mengucapkan rasa syukur apabila Barisan Nasional (BN) menang dan kerajaan negeri Melaka tidak jatuh semula ke tangan Pakatan Harapan (PH).

Advertisement

“Umno adalah merupakan sahabat kita dalam MN dan kemenangan itu sudah pasti disambut baik dan perkara yang lebih penting ialah Melaka tidak jatuh ke tangan PH, sungguh pun PN mengalami kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, “ katanya.

PAS menerima kekalahan dalam PRN Melaka di samping beryukur kerana kerajaan negeri Melaka tidak jatuh ke tangan PH.

Walaupun strategi PAS memilih PN berbanding MN telah gagal, namun usaha untuk penyatuan ummah tetap akan diteruskan.

“Sehingga saat ini, PAS masih berharap ketiga-tiga parti ini dapat bersama untuk rundingan dan terus terbuka demi penyatuan,” katanya di sini.

PN berjaya memenangi kerusi di Sungai Udang apabila calonnya Mohd Aleef Yusof, yang meraih 6,789 undi, menewaskan Dato Mohamad Ali Mohamad (BN), Hasmorni Tamby (PH) dan Mohd Zahar Hashim (Bebas) dalam persaingan empat penjuru.

Manakala kerusi kedua PN pula dimenangi di Dewan Undangan Negeri Bemban melalui Mohd Yadzil Yaakub yang meraih 4,211 undi menewaskan Koh Chin Han (BN), Tey Kok Kiew (Pakatan Harapan), Ng Choon Koon (Bebas) dan Azmi Kamis (Bebas) dalam pertandingan lima penjuru. – HARAKAHDAILY 22/11/2021