Mahkamah Syariah perlu setanding Mahkamah Sivil

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Kehakiman Syariah Malaysia perlu ditubuhkan sebagai antara cara untuk meningkatkan taraf Mahkamah Syariah setanding Mahkamah Sivil.

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman, berkata ketika ini hakim Mahkamah Syariah dilantik oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedangkan proses pelantikan hakim Mahkamah Sivil dibuat oleh Suruhanjaya Kehakiman.

- Advertisement -

Malah, katanya gaji hakim Mahkamah Syariah lebih rendah berbanding gred gaji dan elaun rakan sejawat mereka di Mahkamah Sivil.

Selain itu, katanya sehingga kini hanya Perak telah menambah hierarki Mahkamah Syariah dari tiga ke empat tingkat, manakala dari sudut penubuhan, hanya Terengganu memperuntukkan penubuhan Mahkamah Syariah dalam Undang-Undang Tubuh negeri itu.

“Bagi negeri lain, penubuhan Mahkamah Syariah hanya disebut dalam enakmen negeri. Ini berbeza dengan penubuhan Mahkamah Sivil yang terdapat dalam undang-undang tertinggi negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Tarmizi berkata, inilah yang selalu diperdebatkan berhubung taraf Mahkamah Syariah yang kelihatan lebih rendah berbanding Mahkamah Sivil kerana instrumen penubuhannya adalah berbeza.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan melihat untuk meningkatkan kedudukan Mahkamah Syariah seperti yang dicadangkan oleh pelbagai pihak dengan meningkatkan hierarki Mahkamah Syariah dari tiga kepada empat tingkat.

“Sehingga kini, hanya wujud tiga tingkat, iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.

“Saya mencadangkan diwujudkan satu lagi tingkat, iaitu Mahkamah Persekutuan Syariah seperti dilaksanakan di Mahkamah Sivil. Jelaslah keprihatinan pihak eksekutif kepada Mahkamah Syariah perlu dipertingkatkan demi meletakkan keadilan pada paksi tertinggi negara, iaitu Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/11/21

- Advertisement -