Keluarga adalah cerminan daulah

- Advertisement -

USRAH kelmarin dulu bincang mengenai peranan institusi keluarga. Pembentukan keluarga Muslim adalah cerminan kepada pembangunan negeri dan negara Islam. Membangunkan negeri dan negara Islam adalah kerja yang tidak mudah. Kita sering diulangkan dengan kata-kata Imam Hasan Al-Banna:

- Advertisement -

أقيموا دولة الإسلام في قلوبكم/نفوسكم، تقم علي أرضكم

“Tegakkan negara Islam dalam hati atau jiwa kamu, nescaya ia akan tertegak di bumi kamu.”

Bagaimanakah corak negeri dan negara yang akan kamu urus tadbir, lihatlah bagaimana kamu mentadbir keluargamu. Diktator? Syuro? Cacamarba? Tidak peduli? Ikut bimbingan agama?

Bagaimana kamu akan mengurus ekonomi negeri dan negaramu, lihatlah bagaimana pengurusan ekonomimu dalam keluarga. Kedekut? Boros? Defisit? Adil? Sumber halal atau haram? Seimbang?

Bagaimana nantinya pembangunan pendidikan negeri dan negaramu, lihatlah aplikasi pendidikan dalam keluargamu. Bagaimana untuk memelihara kebersihan alam sekitar, kota dan desa. Lihatlah bagaimana kebersihan dan kekemasan rumahmu.

Rumah kita itu adalah cerminan negeri dan negara yang akan kita bangunkan. Kalau institusi sekecil keluarga pun terlalu banyak kelompongan dan ketempangan. Bagaimana nak bangunkan institusi yang lebih besar.

Itu baru pembangunan keluarga, belum cawangan, lajnah, kawasan dan yang lebih besar darinya. Kalau diberi tanggungjawab menguruskan unit atau lajnah yang kecil pun cacamarba dan terabai, macam mana kita boleh sembang gempak sambil bergoyang meja nak tegakkan negeri dan negara Islam? 

Membincangkan topik ini, menjadikan kita tersentak dan bermuhasabah. Bukan mudah untuk mengurus tadbir sebuah keluarga Islam. Apatah lagi cawangan, UDM, DUN mahupun lajnah di peringkat bawah yang lebih ramai dan luas cakupan tanggungjawab dari sebuah keluarga. Apatah lagi untuk menuju kepada penegakkan negeri dan negara Islam.

Muhasabah ini untuk diri kita terlebih dahulu. Bukan untuk menilai orang lain. Kerana perubahan itu bermula dengan perubahan diri. Menilai dan mengkritik diri sendiri selalunya pahit.

USTAZ HAZMI DIBOK – HARAKAHDAILY 22/11/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/100000836577438/posts/4502034036501104/

- Advertisement -