Isu air: Pulau Pinang tidak pernah jawab surat Kedah

ALOR SETAR: Persetujuan Kerajaan Persekutuan membayar pampasan kepada negeri-negeri yang mengekalkan hutan simpan sebagai kawasan tadahan selaras dengan Rancangan Fizikal Negara keempat (RFN4).

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau mengucap terima kasih khususnya kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob di atas pengumuman berkenaan.

“Kerajaan negeri mengalu-alukan pengumuman yang dibuat oleh perdana menteri dan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih,” ujarnya melalui kenyataan media di sini, hari ini.

Advertisement

Kerajaan negeri bagaimanapun berharap pemberian pampasan itu dalam bentuk pampasan fiskal bukan berbentuk kos projek penanaman pokok atau sebagainya.

“Ini mengambil kira kerugian akibat kehilangan hasil hutan, kos untuk penyelenggaraan sumber dan aliran bagi memastikan hutan dan kelestarian alam semulajadi di mana nilainya sekurang-kurangnya RM100 juta setahun.

“Jumlah pampasan itu untuk Kedah adalah nilai paling munasabah kerana mengekalkan kawasan hutan simpan bukan semata-mata untuk manfaat domestik tetapi sebagai suatu pengorbanan untuk seluruh negara,” ujarnya.

Ini kerana jelas beliau, fungsi kawasan tadahan daripada hutan simpan di negeri itu adalah untuk pengairan kawasan penanaman padi bukan sahaja di Kedah, malahan juga Pulau Pinang dan Perlis.

“Sehingga kini kita (Kedah) membekalkan 43 peratus daripada keperluan beras nasional yang begitu membantu Kerajaan Persekutuan menjimatkan kos import makanan asasi itu dari luar negara,” jelasnya.

Selain itu, kawasan tadahan khususnya Hutan Simpan Hulu Muda yang seluas 163,000 hektar turut membekalkan air kepada Pulau Pinang.

Pulau Pinang katanya mengabstrak 1,100 juta liter air sehari dari Sungai Muda iaitu sumber air dari Hutan Simpan Hulu Muda berbanding rakyat Kedah sendiri yang hanya menggunakan 800 juta liter air sehari dari sungai yang sama.

“Ini bermakna 80 peratus air dari Sungai Muda diabstrak setiap hari untuk kegunaan Pulau Pinang.

“Kerajaan Pulau Pinang bukan sahaja tidak pernah membayar malah surat-surat yang dihantar untuk rundingan berkenaan perkara itu juga tidak pernah dijawab,” katanya.

Justeru itu apabila wujud kos untuk penyelenggaraan dan pengekalan sumber air termasuk kawasan tadahan selain kos kehilangan hasil hutan, pembayaran pampasan ditunggu kerajaan dan rakyat Kedah sejak sekian lama.

Sehingga kini secara keseluruhan keluasan kawasan berhutan di Kedah ialah 344,865.09 hektar yang meliputi 36.4 peratus daripada keseluruhan negeri terbabit. – HARAKAHDAILY 22/11/2021