Idris tekad selesaikan isu guru KAFA

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Ustaz Idris Ahmad, memberi jaminan bahawa beliau bersungguh-sunguh menyelesaikan isu penyerapan guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) ke jawatan tetap.

Katanya, perkara ini melibatkan aspek kewangan dan pihaknya perlu berbincang dengan pihak bertanggungjawab bagi membolehkan ia dilaksanakan.

- Advertisement -

“Dalam masalah nak bagi duit, ini bukan duit kita sendiri. Ia melibatkan prosedur kewangan. Maka seharus kita lihat perkara ini mengikut peraturan. Kalau kita minta sekali pun, sudah tentulah tidak ada rasional orang tak bagi kita.

“Kita hendak tolong sangat. Saya mengaji sekolah agama, sudah tentu kita ada tanggungjawab dan sebagainya. Tapi benda ini melibatkan prosedur kewangan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

Idris berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengadakan beberapa siri rundingan dengan agensi Persekutuan berhubung perkara ini.

Menurutnya, maklum balas agensi berkenaan ialah berapa perkara melibatkan perkhidmatan guru KAFA seperti deskripsi tugas, jumlah jam mengajar, kelayakan guru untuk dilantik dan premis kondusif perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum perkara ini boleh dibawa untuk pertimbangan.

Selagi perkara yang membabitkan aspek perkhidmatan tidak diselesaikan, katanya sukar bagi agensi berkenaan memberi pertimbangan untuk menyerapkan guru KAFA ke jawatan tetap.

“Sebagai contoh di Negeri Sembilan, pengajian KAFA hanya empat hari. Lima hari di Selangor, Melaka, Johor, Perak, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan. Pengajian daripada Tahun 1 hingga 6 pula melibatkan Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kelantan, Pulau Pinang, Sarawak, Selangor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, rundingan secara mendalam juga dilakukan dengan Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN) berhubung perkara ini kerana PBAN adalah jentera pelaksana program KAFA di negeri masing-masing yang melibatkan aspek pelantikan guru, penggunaan premis negeri dan pengurusan hal ehwal murid.

Katanya, kerajaan menumpukan kepada peningkatan profesionalisme dan meningkatkan kebajikan guru agar mereka dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada program KAFA.

Sementara itu, katanya kerajaan menetapkan pengimportan daging dan produk daging hanya dibenarkan dari rumah sembelih dan loji pemprosesan yang diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan JAKIM.

“Produk yang diimport perlu mendapat pengesahan halal daripada badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf JAKIM.

“Pengimport perlu mengemukakan sijil kesihatan dari pihak berkuasa kesihatan veterinar negara pengeksport dan kelulusan permit import dari Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) sebelum daging dan produk daging dibenarkan masuk ke pasaran Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/11/21

- Advertisement -