Tahniah BN berjaya bentuk kerajaan di Melaka – Muhyiddin

- Advertisement -

MELAKA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima kekalahan gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini dengan hati terbuka.

Beliau berharap Barisan Nasional (BN) akan menterjemah kemenangan mereka dengan menunaikan janji kepada rakyat sebagaimana yang terdapat dalam manifestonya.

“Tahniah kepada BN kerana berjaya membentuk kerajaan di Melaka. Rakyat Melaka telah memilih calon dan keputusannya telah diketahui.

- Advertisement -

“Di peringkat PN, kita bersyukur kerana berjaya mempertahan jumlah kerusi yang kita menang dulu dan bagi yang lain, kita juga bersyukur kerana sebahagian besar calon kita mendapat jumlah undi yang menggalakkan,” katanya pada sidang media di bilik gerakan utama PN di sini malam tadi.

Muhyiddin juga berkata satu kajian mendalam akan dilakukan berkaitan keputusan PRN Melaka.

“Kita akan lihat sama ada ia ada kaitan dengan jumlah pengundi yang keluar, jentera PN atau ada masalah lain.

“Ini akan memberi panduan untuk langkah seterusnya terutama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya.

PN berjaya meraih kerusi di Sungai Udang apabila calonnya Mohd Aleef Yusof, yang meraih 6,789 undi, menewaskan Datuk Mohamad Ali Mohamad (BN), Hasmorni Tamby (Pakatan Harapan) dan Mohd Zahar Hashim (Bebas) dalam persaingan empat penjuru.

Kerusi kedua PN dimenangi di Dewan Undangan Negeri Bemban melalui Mohd Yadzil Yaakub yang meraih 4,211 undi menewaskan Koh Chin Han (BN), Tey Kok Kiew (Pakatan Harapan), Ng Choon Koon (Bebas) dan Azmi Kamis (Bebas) dalam pertandingan lima penjuru.

Bagaimanapun, calon Ketua Menteri PN Datuk Mas Ermieyati Samsudin tewas kepada Pengerusi Perhubungan Umno Melaka Datuk Ab Rauf Yusoh (BN) di kerusi Tanjung Bidara dalam persaingan tiga penjuru apabila hanya meraih 3,195 undi.

Pesaing lain di kerusi itu ialah Zainal Hassan yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan. – BERNAMA

- Advertisement -