Sekarang setuju Mas Ermieyati, dulu bantah Kak Wan

- Advertisement -

PAS membuka pula satu bab baharu dalam berpolitik. Riuh dan kecoh bagi mereka yang tidak masuk kelas lagi berkenaan isu ini. PAS bersetuju mencalonkan, seorang wanita, Mas Ermieyati menjadi Ketua Menteri Melaka mewakili PN, tetapi pada tahun 2014 dahulu, PAS berkeras menolak dari mencalonkan Wan Azizah menjadi Menteri Besar Selangor, sedangkan PR ketika itu mempunyai majoriti kerusi DUN. Pelik ke? Mari kita tengok semula sejarah.

- Advertisement -

1. Dalam Islam, seorang pemimpin mestilah mempunyai sifat ‘qawiy’ iaitu kuat, berkeupayaan atau berkemampuan memimpin dan ‘amin’ iaitu amanah. PR di Selangor pada waktu itu telah mempunyai seorang pemimpin yang memiliki sifat qawiy dan amin itu, iaitu Tan Sri Khalid Ibrahim. Kemudian, sepertimana kita tahu, secara tiba-tiba, PKR mahu beliau ditukarkan dan ia berkebetulan hampir sama waktu keputusan perbicaraan seseorang.

PKR dan DAP tetap mahu menggantikan Tan Sri Khalid dengan Kak Wan yang sangat jauh kualiti kepimpinannya atau mungkin boleh disebut sebagai tiada kualiti langsung. PAS bantah. Beza dengan PRN Melaka, bukan sahaja Ketua Menteri (KM) yang diturunkan, tetapi seluruh kerajaan dijatuhkan sesama mereka kerana ada tuduhan berebut pasir. Jadi KM baru, mesti dipilih.

2. Bagi menjatuhkan Tan Sri Khalid, beliau difitnah oleh PKR (yang Kak Wan berkuasa di dalamnya, tetapi tidak membantah) dan terbukti di mahkamah kemudiannya, beliau tidak bersalah atas semua tuduhan itu. Jelas Kak Wan tidak mempunyai sifat amin dalam kes memfitnah Tan Sri Khalid ini. Majlis Syura Ulamak PAS yang diketuai oleh Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz (TGNA), kekal menyokong penuh Tan Sri Khalid. Manakala di Melaka, Mas Ermieyati tidak memfitnah sesiapa untuk mencalonkan dirinya sebagai KM. 

3. PRK Kajang pada mulanya didakwa bukan agenda untuk menukar Menteri Besar Selangor tetapi PKR mungkir janji kepada PAS kerana tetap menjadikannya sebagai rancangan menukar Menteri Besar, dengan menamakan Kak Wan sebagai calon tunggal Menteri Besar dan berlawanan dengan titah Sultan Selangor.

Sultan Selangor tidak berkenan untuk melantik Kak Wan yang bukan sahaja lemah dalam kepimpinan, tetapi juga bukan anak tempatan sebagai MB Selangor. PAS menjunjung titah Tuanku dan memahami kehendak Tuanku dengan memberikan tiga nama calon sebagai cadangan dan tiada nama dari wakil PAS sebagai menghormati jawatan MB Selangor adalah hak PKR waktu itu.

4. PAS bukan parti anak tangga, guna dipijak orang untuk naik. PAS parti ada jati diri. Sudah lama kenyataan ini diberikan oleh Presiden. Langkah Kajang ialah gerakan gagal, membazir wang rakyat yang direka PKR dan dipaksa pula ke atas PAS untuk menerima Kak Wan sebagai Menteri Besar. Sama seperti Umno menyuruh PAS menggunakan logo PAS sendiri dalam PRN Melaka, nak jadi Abang Long. Sementara mencalonkan nama Mas Ermieyati pula dibincangkan dengan baik oleh komponen Perikatan Nasional dan dipersetujui kepimpinan tertinggi PAS, tanpa paksaan.

5. Dalam pengalaman berpolitik, Kak Wan tiada pengalaman memerintah. Hanya berdemo, dengan ucapan diselangi kisah sedih, tangisan, ditunjangi pula dengan cerita rekaan dari penyokongnya dan kemudiannya tiba-tiba mahu dicalonkan sebagai Menteri Besar menggantikan Tan Sri Khalid (mohon tonton kembali cara Kak Wan berucap di DUN Selangor waktu itu di link yang disertakan). 

Tetapi kalau pandai menggayakan kipas dan tahu bagaimana nak buat kuih bengkang, itu bukan kebolehan penting dan utama untuk menjadi Menteri Besar. Berbanding Mas Ermieyati sudah menjadi Timbalan Menteri selama enam tahun sebelum dicalonkan ke jawatan Ketua Menteri ini. Ternyata Mas lebih qawiy dari Kak Wan, walaupun tidak pasti Mas boleh masak kuih bengkang atau tidak.

6. PAS menggunakan keluasan fekah selagi tidak berkait dengan akidah. Mengangkat seorang wanita sebagai pemimpin di wilayah khas (kuasa terhad seperti Menteri Besar atau Menteri) sebagai penguasa dan bukan bagi wilayah ‘ammah’ (kuasa tertinggi seperti Perdana Menteri), ada dalil yang bukan qate’i membenarkannya daripada perbincangan ulamak yang menghuraikan al-Quran Hadis.

7. Dan PAS juga pernah tidak bersetuju pada beberapa keadaan untuk mengangkat wanita menjadi Menteri Besar, menggunakan dalil lain yang dibahas ulamak. Jangan bimbang, semua dalil itu ada dalam Islam, bukan rekaan. PAS tahu bila sesuai untuk diguna bagi kebaikan Islam sebab ulamak PAS sangat berkebolehan dan Presiden PAS diakui dunia keilmuannya.

8. Dalam bab bukan akidah, akan ada perbezaan pendapat di kalangan ulamak. Berdasarkan kehendak semasa yang memberi kelebihan kepada Islam, PAS akan menggunakan dalil dalam Islam yang difikirkan terbaik. PAS hanya mahukan Islam berada di atas. Sama juga macam PH yang terima ‘katak-katak’ itu jadi calon di Melaka. Dulu tak boleh terima yang lompat, tak ada integriti, sekarang boleh pula, pakai dalil mana?

9. Tak boleh nak terima lagi semua alasan ni? OK, aku bagi satu lagi contoh keluasan fekah. Yang ini ‘last’. PAS tidak mengkafirkan semua mazhab dalam Syiah. Bagi PAS, ada Syiah menghampiri fahaman Sunni, PAS boleh bertolak ansur dan ia adalah perbalahan mazhab sahaja. Manakala Syiah yang sesat, adalah sama dengan Sunni yang sesat.

Ada ramai Sunni yang mengaku Nabi, mengaku tuhan, tiada beza dengan sesetengah Syiah yang sesat itu. Yang ini PAS tidak pernah terima. Jadi dalam kelonggaran fekah ini, mana lebih baik? PAS memilih wanita Sunni menjadi Ketua Menteri, atau mengangkat lelaki Syiah menjadi Presiden parti atau Menteri atau Ketua Menteri? Hei! kau, orang PH, ada dalil siapa yang nak kau pilih? 

Umno pula tak boleh kecam PAS sebab Mas asal dari Umno dan Umnolah yang angkat Mas naik sampai peringkat Timbalan Menteri dan PAS juga meletakkan wakil Muslimatnya sebagai Timbalan Menteri dan Senator, bukan cakap kosong. OK, dah faham semua? Esok pengundi Melaka, jangan lupa undi calon-calon PN di sana. 

Mas for CM! 

*Gambar Kak Wan diambil dari laman Utaranews

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 19/11/2021

Rujukan:

PENAFIAN:

HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -