RM402,000 bantu 2,010 penternak terjejas sepanjang PKP

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU: Kelantan melaksanakan kempen pendaftaran ternakan ruminan bagi memudahkan kerajaan negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri menyalurkan pelbagai bantuan.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Tuan Mohd Saripuddin Tuan Ismail, berkata langkah itu penting ketika penularan penyakit kuku dan kulut (FMD) dan penyakit kulit kental berbonjol (LSD).

Advertisement

Katanya, sehingga kini seramai 2,010 penternak sudah mendaftar ternakan dan premis kandang masing-masing di seluruh negeri.

Bagaimanapun, katanya pihak berkuasa mengesan lebih lima kali ganda lagi golongan penternak tidak mendaftar.

“Saya menasihati penternak mengambil tanggungjawab bagi memastikan penternakan mereka berkembang baik.

“Bekerjasama dengan JPV membolehkan mereka memantau dan memberi khidmat nasihat, di samping memberi suntikan penyakit kepada ternakan.

“Walaupun mereka tidak mendaftar, tetapi JPV tetap menyuntik. Namun JPV mengutamakan penternak yang berdaftar dahulu,” katanya selepas menyampaikan bantuan sejahtera tani Covid-19 tahun 2021 di Kompleks Kota Darulnaim di sini, kelmarin.

Turut hadir Timbalan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Abdul Azziz Kadir, dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan, Nik Fazul Fazlee Nik Othman.

Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM402,000 kepada 2,010 penternak haiwan ruminan yang bernaung di bawah JPV yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19.

Tuan Mohd Saripuddin juga berkata, kerajaan negeri sebelum ini memperuntukkan RM49,900 kepada Jabatan Pertanian Negeri Kelantan dan RM900,000 kepada Jabatan Perikanan Negeri bagi membantu petani dan penternak yang terjejas. – HARAKAHDAILY 19/11/21