Rafiq sokong keputusan Mas Ermieyati dicalon Ketua Menteri

- Advertisement -

MELAKA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen menyokong penuh keputusan mencalonkan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ketua Menteri Melaka, sekiranya gabungan itu berjaya memperoleh majoriti kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, esok.

Beliau berkata semua pihak perlu menghormati keputusan kepimpinan pusat itu dan memohon seluruh jentera PN Melaka bekerja keras, bagi memenangkan semua calon PN.

- Advertisement -

“Sebagai orang parti dan juga pemimpin parti, semua pihak harus menghormati keputusan yang telah dibuat oleh pucuk pimpinan, biro politik Bersatu dan juga Majlis Tertinggi PN.

“Saya sebagai Pengerusi PN Melaka memberikan sokongan sepenuhnya kepada keputusan tersebut dan saya meminta, memohon semua jentera PN seluruh Melaka harus bekerja keras bagi kemenangan calon-calon PN di semua kerusi yang kita tandingi,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Mas Ermieyati sebagai calon Ketua Menteri daripada PN, jika parti itu memperoleh mandat rakyat untuk membentuk kerajaan pada PRN Melaka.

Mohd Rafiq yang juga calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas berkata ura-ura mengatakan beliau tidak dicalonkan sebagai Ketua Menteri kerana tidak disokong sebagai akar umbi Bersatu hanyalah spekulasi semata-mata, malah secara konsisten berkempen bagi memenangi kerusi Telok Mas.

“Saya yakin saya dah turun ke akar umbi, berjumpa secara tidak langsung dengan pengundi-pengundi di masjid, surau dan warung, sokongan kepada PN di Telok Mas sangat positif dan saya yakin rakyat akan terjemahkan sokongan ini pada esok hari iaitu hari mengundi PRN Melaka,” katanya.

Ditanya sasaran kerusi dimenangi PN esok, beliau berkata: “Saya rasa tidak perlulah saya sebut di sini tetapi saya yakin PN walaupun kemunculan pertama (bertanding pilihan raya) di Melaka, kita akan buat kejutan dengan sokongan rakyat di Melaka”.

PN bertanding di kesemua 28 kerusi DUN pada PRN Melaka, esok dengan parti komponennya Bersatu bertanding di 15 kerusi manakala PAS lapan, dan Gerakan lima.

Kerusi DUN Telok Mas menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara Mohd Rafiq yang ditentang calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Ashraf Mukhlis Minghat, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dari Barisan Nasional (BN) dan Muhammad Ariff Adly Mohammad (Bebas).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, kerusi Telok Mas dimenangi Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu) yang ketika itu bertanding di bawah tiket PH dengan majoriti 1,288 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada Sabtu (esok) berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – BERNAMA

- Advertisement -