PRN Melaka: Pengundi diharap berani buat perubahan

Bakri bersama Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
- Advertisement -

BAKRI Jamaluddin adalah calon Perikatan Nasional daripada PAS pada Pilihan Raya Negeri (DUN) Melaka bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang. Beliau mengharapkan para pengundi yang akan mengundi esok berani membuat perubahan. Berikut ialah sambungan wawancara beliau Bersama wartawan Harakahdaily, SYAHIRAH SALLEH dan NUR HASMIRA MOHAMAD, baru-baru ini.

HARAKAHDAILY: Slogan Berintegriti, Amanah, Bersih dan Berkebajikan, apa sebenarnya mesej yang ingin disampaikan kepada pengundi di sebalik slogan ini?

Disebabkan saya melihat bahawa anak muda menganggap politik sebagai sesuatu yang kotor, sebab itu kita membawa slogan ini dengan memberikan satu tawaran yang dipanggil politik solusi.

Apabila kita bercakap soal perpaduan, hari ini kita panggil dunia politik tempat orang bergaduh dan orang anggap dunia politik ini kotor, korup dan sebagainya.

Jadi kita dipanggil untuk memberikan satu tawaran baharu iaitu politik solusi. Ini yang kita cuba tawarkan, iaitu politik yang menyelesaikan permasalahan yang bermain di minda rakyat sehingga rakyat benci politik

- Advertisement -

Bahaya jika rakyat benci politik kerana kita bimbang dan takut apabila rakyat benci pada politik, maka orang baik tidak berpolitik dan akhirnya politik itu dikuasai oleh orang yang tidak baik.

Justeru, penting untuk kita datang membawa politik solusi yang menawarkan perpaduan dan sebagainya.

Apa nasihat untuk mereka yang membenci politik?

Jangan benci politik sebab urusan kehidupan kita sebenarnya yang mengaturnya adalah orang politik, semua sekali, termasuk sekolah dan sebagainya.

Sebab itu saya harap anak-anak muda, kalau kamu jadi golongan anak muda yang baik, masuklah ke dunia politik. Mudah-mudahan politik ini akan dikuasai oleh orang yang baik-baik.

Apa harapan Tuan terhadap pengundi Kelebang?

Sebenarnya kalau kita mahukan perubahan, kita perlu berani. Tidak mengira aspek dan bidang apapun, sekiranya kita mahukan perubahan, kita mesti berani menghadapi risiko.

Harapan saya, mudah-mudahan mereka berani melakukan perubahan supaya kita boleh melakukan anajakan paradigma dalam peradaban.

Kerana kita tahu, hari ini apabila kita bertanya kepada anak muda, mereka bosan dengan politik, sebab mereka melihat politik ini sebagai satu tempat orang fitnah memfitnah, bergaduh, lubuk kekayaan, dan akhirnya berlakunya cemburu, jatuh-menjatuh dan sebagainya.

Sebab itu, harapan saya kepada pengundi Kelebang, jika mereka mahukan perubahan, cuba lakukan anjakan paradigma supaya kita boleh menawarkan satu peradaban politik baharu ke dalam negara, khususnya di Kelebang ini, iaitu politik yang mengajak kepada perpaduan, politik yang berteraskan kepada integriti amanah bersih dan juga prihatin.

Sebagai seorang yang berpengalaman dalam pengurusan organisasi, mungkin Tuan boleh kongsikan tips dalam menguruskan ragam manusia. Mungkin ada di luar sana yang memerlukan tips sedemikian.

Bagi saya, apabila saya menguruskan syarikat, saya sentiasa mempercayai ilmu pengetahuan adalah segalanya. Apa yang kita lakukan, kita haruslah mempunyai ilmu pengetahuan.

Kita tidak boleh buat sesuatu hanya kerana disebabkan kita bercita-cita untuk menjadi pemimpin, tidak.

Apapun yang kita lakukan, asasnya mestilah kepada ilmu pengetahuan. Jadi, ilmu pengetahuan ini kita dapat melalui belajar, pembacaan ataupun pengalaman yang kita lalui,

Di samping itu, kita juga perlu mencari idola yang akan menaikkan semangat kita untuk melakukan sesuatu, mesti ada idola.

Contoh idola hari ini, Mark Zukerberg, Jack Ma dan sebagainya.

Apa kata Jack Ma kata apabila kita berusia 20 tahun, ia adalah masa untuk bekerja keras, apabila di usia 30 ke 40 tahun, ini masa untuk berkarier dan apabila umur 40 hingga 50 tahun, itulah masa untuk meraih.

Selepasnya, apabila anak-anak sudah besar dan sudah berusia 50 ke atas, inilah masanya untuk mendidik dan mencipta pemimpin baharu.

Saya lihat, mengapa banyak organisasi gagal adalah kerana mereka gagal menunaikan yang terakhir itu, mereka tidak mencipta pimpinan pelapis.

Apa pandangan Tuan mengenai sistem Piradim atau Multi Level marketing (MLM)?

Saya sebenarnya lebih suka sistem yang bersih dan telus, dan lebih penting mesti dilihat sesuai atau tidak dengan Fiqh Muamalah.

Walau apa carapun kita hidup, yang penting apa yang dilakukan mesti berteraskan kepada Islam.

Mudah sahaja, sebagai seorang Islam, akauntabiliti kita mudah sahaja, iaitu dosa dan pahala.

Kalau tidak fikir dosa dan pahala, integriti tidak akan dapat dicapai, tetapi dengan adanya pertimbangan dosa pahala, inilah yang menjadi pagar untuk melindungi kita daripada melakukan sesuatu penyelewengan dan sebagainya.

Pengalaman Tuan dalam industri perladangan amat membanggakan, bagaimana Tuan melihat potensi dalam industri pertanian dan perladangan?

Saya sebagai Ahli Jawatankuasa Mechanisation and Automation Research Consortium of Oil Palm (MARCOP) sendiri, sekarang kita menggalakkan ahli sains dari universiti tempatan untuk terlibat dengan kajian dan pembangunan (RnD) untuk membangunkan mekanisasi dan industri sawit.

Kerana kita yakin, apabila kita boleh mendapatkan produk akhir dalam automasi, ia akan meningkatkan produktiviti. Pendapatan tentunya lebih besar dan kerja bertambah ringan.

Inilah yang kami lakukan di Marcop, mudah-mudahan ia akan menjadi penarik untuk anak muda. Contohnya, pembajaan menggunakan dron. Ini teknologi baharu dan sesuai dengan generasi sekarang. – HARAKAHDAILY 19/11/2021

- Advertisement -