Mungkinkah keputusan PRN Melaka beri pengajaran?

- Advertisement -

Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB

“JAGA-jaga Cik Salman, ahh kan dah jatuh,” sambil tertawa Sarip Dol, samseng Kampung Dusun dengan basikal tua gaya ala jantan pemikat mendesak Cik Salman berkahwin dengannya, walaupun Cik Salmah sebenarnya langsung tidak tertarik dengan penampilan Sarip Dol pemuda kampung anak seorang yang kaya dan berpengaruh.

Itu sedikit singkapan babak dalam filem Seniman Bujang Lapok yang amat diminati ramai, filem komedi terhebat lakonan seniman Tan Sri P Ramlee, Aziz Satar dan S Samsuddin, serta seniwati Saloma dan juga Sarip Dol yang dilakonkan oleh Shariff Dol.

Kisah ini memaparkan Bujang Lapok yang menganggur berusaha untuk mendapatkan pekerjaan. Mereka tinggal di dalam satu rumah yang besar dan dihuni bersama dengan pelbagai lapisan masyarakat yang mempunyai kerenah tersendiri.

Suasana aman dan tenteram tidak pernah dialami di rumah yang penuh sesak itu. Ada sahaja kedengaran kisah si suami dan dua orang isterinya berkelahi dengan suara yang kuat, bunyi tiupan trompet yang sumbang dari satu bilik yang lain. Jerit pekik, bunyi motosikal, bunyi radio dan banyak lagi. Ia kisah kehidupan masyarakat.

- Advertisement -

Ada satu lagi masalah besar. Ramlee cintakan Salmah dan mahu berkahwin dengannya. Tetapi Ramlee tidak mempunyai wang. Sementara itu, Salmah disuruh ibunya untuk berkahwin denga Sarip Dol, seorang samseng yang kaya dan berpengaruh.

Sedar akan saingannya yang hebat, Ramlee berusaha untuk meraih Salmah. Ramlee dan Sarip Dol berjumpa satu lawan satu. Itupun Ramlee pengsan dibelasah teruk.

Pertunangan Salmah dan Sarip diputuskan apabila ibu Salmah mengetahui hal yang sebenar. Sarip Dol bilang, jangan menyesal Salmah. Berita ini disambut gembira oleh Ramlee.

Sebagai rakan sebilik Ramlee, Sudin menolong dengan batu ajaibnya. Apalah nasibnya. Diharapkan RM350 tetapi yang dapat cuma RM5 saja daripada Pengurus Kemat Hassan.

Mujurlah Salmah mempunyai wang simpanan dan dapat menyelamatkan keadaan. Setelah puas bercengkerama mereka pun pulang. Mereka terperanjat apabila mendapati bahawa rumah mereka sedang galak dijilat api. Bagaimana apa itu bermula? Adakah ia dinyalakan orang? Terfikir oleh Salmah ia angkara Sarip Dol. Mereka berkumpul beramai-ramai. Kemudian mereka ke rumah Sarip Dol.

Di rumah Sarip Dol, Ramlee telah membelasah Sarip secukup-cukupnya sehingga Sarip menyerah kalah. Tindakan Ramlee ini berikutan penemuan dompet Sarip Dol berhampiran rumah mereka. Sarip ditangkap dan diserahkan kepada pihak polis.

Sesudah itu, Salmah membawa berita gembira buat Ramlee.

Ini sedikit singkapan kisah dalam ilem Seniman Bujang Lapok. Menceritakan watak pembuli Sarip Dol samseng Kampung Dusun, orang ternama. Nama Sarip Dol begitu popular bilamana dikaitkan dengan watak samseng, samada dalam masyarakat mahupun seputar isu politik.

Kiasan yang amat menarik diberi Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam mengkisahkan isu perundingan politik membabitkan beberapa pihak sejak adanya kerjasama dengan pihak tertentu.

Dr Samsuri yang juga Naib Presiden PAS turut membuat analoginya mengenai sikap ‘samseng’ Kampung Dusun seperti watak Sarip Dol dalam filem Seniman Bujang Lapok serta sikap tamak haloba seperti watak Abdul Wahab dan Abdul Wahib dalam filem Tiga Abdul, yang menggagalkan rundingan itu.

Kiasan watak itu sebenarnya Dr Samsuri serlahkan dalam isu perundingan politik yang pernah beliau yang mewakili PAS lalui dalam beberapa siri rundingan termasuk yang terkini membabitkan beberapa buah parti menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka dalam menjayakan usaha mengukuhkan perpaduan ummah dan mengelak kerajaan 22 bulan yang dikendali Pakatan Harapan selepas PRU14  lalu.

Beliau berkata demikian ketika Ucapan Penggulungan Belanjawan Terengganu (Bajet) 2021 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, 17 November lalu.

Dalam kiasan yang dibuat Dr Samsuri semasa beliau meminta semua pihak agar berlapang dada, ikhlas serta menjauhi sikap tidak baik Abang Long yang boleh merosakkan sebarang usaha dan perbincangan pada masa akan datang.

Menurutnya, perkara kerjasama politik ini terpaksa disentuh dalam ucapan penggulungan kerana empat faktor iaitu persoalan ada dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), demi kepentingan rakyat mahukan keharmonian, kelancaran jentera pentadbiran serta kaedah penyampaian lebih efektif yang ada kaitan dengan situasi semasa di peringkat Persekutuan.

“Kita (pemimpin) bercakap mengenai penyatuan ummah dan kerjasama politik. Kita semua ada kelemahan, sekiranya tiga parti ini gagal merendahkan ego, kita akan balik kepada asal yang menyaksikan kembalinya sengsara 22 bulan kerajaan ‘scammer’.

“Untuk memastikan kerjasama semua parti Melayu ini boleh berlaku, berdasarkan pengalaman saya sendiri dan rakan-rakan lain, ia tidak mustahil untuk dicapai, kuncinya kena duduk dan berbincang, insya-Allah,” ujarnya.

Katanya, banyak pihak terutama rakyat sendiri akan berasa kecewa dengan kegagalan perundingan akibat watak-watak politikus tertentu yang diumpamakan sebagai Sarip Dol, Abdul Wahab, Abdul Wahib dan Abang Long yang dibimbangi akan membuatkan skrip seperti Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu berlaku dan mangsanya adalah rakyat.

Pun begitu PAS tetap terus memainkan peranan sebagai penyatu, sebuah pasukan yang dilihat sebagai watak pendamai dalam memastikan agenda perpaduan ummah terus diperkasakan khasnya bagi mendepani cabaran getir Pilihana Raya Umum ke-15.

Mungkin PAS yang mengambil watak Ramlee ini akan berjaya menyedarkan pihak tertentu dalam kemelut politik ketika ini atau pihak tertentu akan terus menjayakan watak Sarip Dol dan Abang Long serta Abdul Wahab dan Abdul Wahib dalam meladuni perjuangan mereka? Sama-sama kita mengharapkan agar sikap pembuli dan tamak haloba ini dapat  diketepikan demi kelangsungan sebuah perpaduan ummah yang pernah dirintis bersama dalam menggagalkan kerajaan ‘scammer’ 22 bulan.

Mungkinkah keputusan PRN Melaka ini akan memberi pengajaran kepada pihak tertentu? Atau sebaliknya? Mungkinkah penyatuan ummah ini berjaya dilaksana andai watak Sarip Dol, Abdul Wahab dan Abdul Wahib masih berlegar dalam urusan perundingan? Sama-sama kita nantikan. – HARAKAHDAILY 19/11/2021

- Advertisement -