Kelayakan Piala Dunia 2022: Kejutan dan cemas di Eropah

PADA hari Selasa lepas, perlawanan-perlawanan peringkat kumpulan bagi UEFA untuk pusingan kelayakan ke Piala Dunia FIFA 2022 telah berakhir. 10 negara selaku johan kumpulan telah menempah tempat ke kejohanan tahun ini yang akan berlangsung pada 21 November hingga 18 Disember tahun hadapan di Qatar. Walau bagaimanapun 10 Naib Johan masih berpeluang layak kerana akan bermain dalam pusingan ‘play-offs’. 10 negara tersebut bersama-sama 2 pemenang kumpulan UEFA Nations League 2020-21 (yang tidak menduduki tempat pertama dan kedua kumpulan pada pusingan kelayakan) akan bertarung untuk 3 tempat ke Qatar.

Pusingan kelayakan kali ini melihat beberapa kejutan. Terdapat negara-negara yang sebelum ini kerap layak ke Piala Dunia dan Euro telah tercicir dari layak secara automatik. Walaupun terdapat mereka yang layak ke pusingan ‘play-offs’ namun terdapat kemungkinan mereka akan ketinggalan pada kejohanan di Qatar itu.

Advertisement

Dalam Kumpulan A, Serbia telah layak secara automatik sementara Portugal walaupun dengan pemain Manchester United Ronaldo telah hanya berjaya menduduki tempat kedua. Pada perlawanan terakhir yang sungguh dramatik di Lisbon, Serbia telah menundukkan Portugal 2-1. Gol Serbia telah dijaringkan pada minit ke 90. Dengan kemenangan tersebut, Serbia telah mengumpul 20 mata sementara Portugal dengan hanya 17 mata berada di tempat kedua. Jika perlawanan berakhir dengan seri, Portugal akan layak oleh kerana perbezaan gol mereka (11 gol) melebihi Serbia (9 gol).

Tiada kejutan dalam Kumpulan B di mana Sepanyol telah layak dengan meninggalkan Sweden 4 mata di belakang di tempat kedua. Tetapi satu lagi kejutan telah berlaku dalam Kumpulan C, di mana Switzerland telah layak dan juara 4 kali Itali tertinggal di tempat kedua. Sekali lagi perlawanan-perlawanan terakhir kumpulan telah menentukan nasib negara-negara itu. Switzerland telah menundukkan Bulgaria 4-0 dan mengumpul 18 mata sementara Itali hanya mampu seri dengan Ireland Utara dan mengumpul 16 mata.

Untuk Kumpulan D, juara 2 kali Perancis telah layak dengan Ukraine di tempat kedua. Negara yang menduduki tempat pertama ranking FIFA, Belgium, telah layak dari Kumpulan E meninggalkan Wales 5 mata jauh di belakang. Republik Czech juga layak ke pusingan ‘play-offs’ dari kumpulan ini melalui pencapaian mereka di dalam UEFA Nations League.

Denmark dari Kumpulan F adalah di antara negara UEFA yang paling awal layak ke Qatar iaitu sebelum perlawanan-perlawanan kumpulan berakhir. Mereka meninggalkan Scotland dengan 4 mata di tempat kedua. Austria yang hanya menduduki tempat ke 4 telah turut layak ke pusingan ‘play-offs’ berdasarkan pencapaian dalam UEFA Nations League.

Satu lagi negara yang terpaksa melalui detik-detik cemas adalah Naib Juara 3 kali Belanda di dalam Kumpulan G. Mereka hanya layak setelah mengalahkan Norway 2-0 pada perlawanan terakhir di Rotterdam. Jika mereka kalah pada perlawanan tersebut, mereka akan dipintas oleh Turki yang akhirnya menduduki tempat kedua. Malah Belanda juga akan tersingkir dari pusingan ‘play-offs’ jika kalah kerana Norway akan dapat memintas mereka.

Satu lagi perlawanan terakhir kumpulan yang menjadi penentu adalah di dalam Kumpulan H. Sebelum perlawanan tersebut, Russia berada di tempat pertama dengan 22 mata sementara Croatia di tempat kedua dengan 20 mata. Tetapi pada perlawanan terakhir, Croatia telah mengalahkan Russia 1-0 di tempat sendiri dan memintas Russia untuk layak secara automatik.

Walau bagaimanapun tidak ada kejutan pada kumpulan-kumpulan lain dengan England layak dari Kumpulan I sementara Poland layak ke pusingan ‘play-offs’. Dalam Kumpulan J pula, Jerman telah layak. Macedonia Utara pula layak ke pusingan ‘play-offs’ mengenepikan Romania yang pernah 7 kali layak.

Terdapat kemungkinan gergasi-gergasi bola sepak dunia, Itali dan Portugal, gagal ke Qatar walaupun telah layak ke pusingan ‘play-offs’. Hanya 3 dari 12 negara pada pusingan ‘play-offs’ akan layak. Mereka akan berhadapan dengan negara-negara yang tidak kurang hebat seperti Russia, Turki, Scotland dan Sweden. Peminat-peminat bola sepak yang berkecuali sudah tentu mahu melihat pasukan-pasukan yang berbeza layak kali ini. Ia akan membuat kejohanan kali ini lebih menarik. Qatar akan menganjurkan Piala Dunia FIFA buat kali pertama, kehadiran selain dari kuasa-kuasa tradisi bola sepak dunia adalah satu perkembangan yang ditunggu-tunggu.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Kajian Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 19/11/2021