Ini peluang untuk pengundi buat perubahan

- Advertisement -

MELAKA: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini adalah masanya untuk rakyat negeri ini melakukan perubahan atau mereka perlu tunggu lima tahun akan datang.

Calon Perikatan Nasional daripada PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Abd Alim Shapie, berkata lima tahun adalah masa yang panjang.

Menurut beliau yang mesra dengan panggilan Pak Alim, sekiranya diberi mandat oleh pengundi Merlimau, beliau akan memberikan tumpuan sepenuhnya dan turun padang menyelesaikan masalah asas penduduk Merlimau.

- Advertisement -

“Pak Alim mengharapkan semua pengundi baik yang di luar, mahupun tengah out station supaya keluar mengundi. Ini bagi memberi peluang untuk pengundi membuat perubahan.

“Inilah masanya, jika tidak perlu tunggu lagi lima tahun. Lima tahun adalah satu masa yang panjang. Sekiranya Pak Alim ditakdirkan Tuhan dicalonkan atau dapat kemenangan, Pak Alim akan memberikan tumpuan sepenuhnya, turun padang menyelesaikan masalah asas bagi penduduk di Dun Merlimau ini.

“Jadi Pak Alim harap, keluarlah mengundi dan Undilah Perikatan Nasional,” katanya ketika ditemui Harakahdaily, di Bilik Operasi DUN Merlimau, di sini, hari ini.

Sementara itu, kata Abd Alim, walaupun esok merupakan penentuan bagi kempen yang sepanjang dua minggu, beliau masih belum merasa gementar setakat ini.

Katanya, sepanjang berkempen, beliau mendapati mod pengundi Merlimau amat baik dan mahukan perubahan dalam pentadbiran.

“Kempen makin agresif, dan hari ini bersama DHPP (Dewan Himpunan Pendukung PAS) menyantuni kaum India.

“Sokongan dari pusat amat baik, saya amat menghargai kehadiran Senator Dr Balasubramiam dan rakan lain, sangat membantu,” katanya.

Tambah beliau lagi, esok beliau akan hadir mengundi di Serkam, seterusnya akan melawat kesemua peti undi di DUN Merlimau.

Selain beliau, tujuh lagi calon daripada PAS yang bertanding menggunakan lambang Perikatan Nasional ialah Aziah Mohd Sa’ad (DUN Kuala Linggi), Bakri Jamaluddin (Kelebang), Muhammad Al Afiz Yahya (Bukit Katil), Abu Hashim Abdul Samad (Taboh Naning), Datuk Kamarudin Sidek (Duyong), Ja’afar Othman (Durian Tunggal) dan Ahmad Bilal Rahaudin (Serkam).

Seramai 112 calon layak bertanding pada PRN Melaka, dengan pertandingan enam penjuru di tiga kawasan DUN membabitkan kerusi DUN Asahan, Duyong dan Gadek.

Sebanyak lima kerusi iaitu DUN Rembia, Machap Jaya, Paya Rumput, Pengkalan Batu dan Bemban pula menyaksikan pertembungan lima penjuru.

Sembilan DUN menyaksikan pertandingan empat penjuru manakala 11 lagi DUN, tiga penjuru. – HARAKAHDAILY 19/11/2021

- Advertisement -