Beri sokongan penuh kepada Perikatan Nasional

MELAKA: Para pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sewajarnya memberi sokongan penuh kepada Perikatan Nasional pada hari pengundian esok.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Aliakbar Gulasan berkata, rakyat Melaka boleh melihat tawaran prinsip keadilan yang dibawa Perikatan Nasional dalam konteks manifesto seperti yang diikrarkan beberapa hari lalu berbanding Pakatan Harapan.

“Tawaran daripada Perikatan Nasional adalah satu perkara yang boleh dilaksanakan yang merangkumi keseluruhan. Kita tengok sangat inklusif sifatnya tidak hanya kepada suatu kumpulan atau satu kaum masyarakat tetapi ia satu sifat inklusif.

Advertisement

“Saya melihat kalau masyarakat menilai secara authentic, progresif berdasarkan kaedah-kaedah manusiawi secara umum pun sebenarnya Perikatan Nasional pilihan yang terbaik bagi rakyat Melaka,” ujar Dr Aliakbar yang ditemui Harakahdaily di Markas Induk PAS dekat sini.

Selain itu katanya, Perikatan Nasional yang merupakan ‘produk’ baru sudah membuktikan prestasi pentadbirannya di peringkat Persekutuan termasuk di negeri Sabah khususnya ketika negara melalui cabaran getir pandemik Covid-19.

Sabah merupakan negeri pertama yang melalui proses pilihan raya negeri semasa wabak Covid-19 masih mengganas. Ketika itu, kajian terhadap penghasilan vaksin masih dijalankan dan kesedaran masyarakat terhadap prosedur operasi standard (SOP) masih kurang peka.

Pilihan Raya Negeri Sabah yang diadakan pada September 2020 itu menampilkan Barisan Nasional bertembung dengan rakan sekutunya Perikatan Nasional dan Parti Bersatu Sabah (PBS) melibatkan 17 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri. Keadaan ini serupa seperti PRN Melaka.

Meskipun berlaku pertembungan namun Sabah menerapkan semangat persefahaman untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil di bawah naungan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada gagasan Perikatan Nasional (PAS, Bersatu, Gerakan, STAR dan SAPP) dan PBS serta Barisan Nasional (Umno, MCA dan PBRS)

Dr Aliakbar yang juga Adun Sabah (Dilantik) menyifatkan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional Sabah berada di bawah payung yang besar dan masih kukuh.

Namun katanya secara peribadi, gelombang di Sabah itu tidak seperti di Semenanjung.

“Berbeza dengan keadaan di sini saya kira yang pertama PAS sudah bertapak lama bukan hanya Melaka tetapi secara keseluruhan di Semenanjung Malaysia.

“Jadi untuk PAS tidak meletakkan calon itu satu perkara yang hampir mustahil.

“Yang kedua PAS menjadi salah satu tonggak parti Melayu Islam di Semenanjung Malaysia.

“Mungkin sedikit berbeza dengan Sabah, jadi sebagai sebuah parti politik Melayu Islam yang dominan termasuklah juga Umno dan Bersatu sejak Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan saya kira ketiga-tiga parti ini sebenarnya merupakan tonggak kepada pembinaan sebuah negara, bangsa dalam konteks Malaysia.

“Mutakhir ini kita melihat sedikit konflik atau kita kata kocakan tetapi ini mungkin satu eksperimen. Di Sabah, alhamdulillah boleh duduk di bawah satu payung, di Semenanjung mungkin ini sebahagian daripada langkah-langkah eksperimen untuk mencapai suatu payung yang lebih besar dan lebih luas,” ulas Dr Aliakbar. – HARAKAHDAILY 19/11/2021