Anak muda, jadikan undi anda sebagai ‘kuasa’ – Khairil

Seruan Ketua Pemuda PN khususnya kepada anak muda pada PRN Melaka

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Anak-anak muda diseru memilih pemimpin berintegriti, memiliki rekod cemerlang dan diyakini tidak mengkhianati janji-janji ditawarkan setelah terpilih sebagai wakil rakyat dari PRN Melaka kelak.

- Advertisement -

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, negara sewaktu pemerintahan Kerajaan PN diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berjaya membawa kesepaduan politik.

“Kita mengambil baton daripada 22 bulan mimpi ngeri Kerajaan Pakatan Harapan (PH), expactation rakyat kepada kepimpinan pada waktu itu cukup tinggi. Tetapi kita terpaksa berdepan suasana COVID-19 yang ia merupakan satu perkara yang bersifat ‘precedent’.

“Tidak ada mana-mana parti dalam negara ini yang boleh mendabik dada, saya mampu menangani COVID-19 sebab ia tidak pernah berlaku dalam sejarah sebelum ini. Tetapi baton itu diambil kerana keikhlasan parti-parti pada waktu itu. 

“Parti Umno, parti PAS, parti BERSATU dan parti-parti lain termasuk rakan-rakan kita GPS dan juga GRS mengambil pendekatan menyelamatkan rakyat daripada kerakusan pemimpin PH.

“Fokus diberikan. Alhamdulillah pengorbanan demi pengorbanan yang dilakukan oleh kepimpinan sebelum ini membuahkan hasil sehinggakan apa yang kita rasai sekarang,” ujarnya pada Pentas Pemuda PN sempena PRN Melaka, kelmarin.

Kerajaan PN sebelum ini juga katanya, telah memberikan fokus pemulihan ekonomi termasuk terhadap golongan anak muda di mana segala inisiatif juga adalah untuk survival anak-anak muda.

Tegas beliau, PN bukan berada di Melaka untuk berbincang titik bengit masalah pasir di negeri itu yang menjadi penyebab kerajaan dijatuhkan kerana adanya kepentingan diri mereka tertentu.

Sebaliknya jelas beliau, PN mahu menggerakkan agenda masa depan rakyat dan meletakkan asas bahawa politik kenegaraan adalah perjuangan untuk rakyat dan bersedia menjadi hamba rakyat.

Terang jurutera teknologis profesional ini, PN tidak memperjuangkan kepentingan individu atau peribadi dan sama sekali tidak menjadikan politik sebagai kerjaya, tetapi tempat untuk berbakti kepada rakyat.

Untuk itu Khairil Nizam menyeru anak muda untuk memberikan pilihan undi mereka kepada PN dan tidak meletakkan negeri kepada risiko berulangnya calon lompat parti atau berebut pasir kerana kepentingan diri.

Nasihat beliau, anak-anak muda dan juga ibu bapa mereka tidak harus memperjudikan nasib negeri Melaka sebagaimana pernah terjadi, sebaliknya berusaha mengangkat kembali kegemilangan negeri tersebut.

Beliau mengingatkan betapa Melaka pada abad ke-14 dan ke-15 dahulu adalah pelabuhan dunia tersibuk serta dipenuhi manusia yang punyai pelbagai kemahiran dan kebijaksanaan.

“Sebab itu untuk memastikan kita ada buying power, negotiation power, kita mahukan kita merayu kepada rakyat Melaka, beri peluang kepada Perikatan Nasional untuk memimpin Melaka,” serunya. – HARAKAHDAILY 19/11/2021

- Advertisement -