21 PPS khas untuk mangsa banjir Covid-19

Mumtaz Md Nawi
- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU: Sebanyak 21 pusat pemindahan sementara (PPS) khas disediakan untuk mangsa banjir yang mempunyai gejala Covid-19 disediakan sepanjang musim tengkujuh di Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, PPS khas itu akan dikendalikan sepenuhnya Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengelak penularan wabak berkenaan.

- Advertisement -

Menurutnya, PPS khas akan disediakan di setiap jajahan, namun bilangannya lebih banyak di jajahan Pasir Mas dan Tumpat, memandangkan kawasan itu  menerima mangsa banjir ramai setiap tahun.

“Semua PPS berkenaan dibuka berdekatan hospital di setiap kawasan bagi memudahkan pengurusan pihak KKM,” ujarnya. 

“Setiap keluarga yang akan ke PPS dinasihatkan menjalani ujian calitan kendiri terutama yang bergejala,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Mabna Kota Darul Naim, di sini,  semalam.

Menurutnya, tindakan itu perlu bagi memudahkan pengurusan di PPS dengan mengambil tindakan awal dalam usaha menangani penularan wabak.

Beliau juga berkata, keseluruhan sebanyak 539 PPS disediakan yang boleh memuatkan 220,000 mangsa banjir di seluruh Kelantan.

Mumtaz berkata, pihak pengurusan di PPS akan memastikan setiap keluarga ditempatkan dalam keadaan baik dengan penjarakan sesuai mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Oleh itu katanya, penduduk yang terdedah banjir dinasihatkan mengakses portal e-banjir dan laman Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengetahui maklumat semasa. – HARAKAHDAILY 19/11/2021

- Advertisement -