RM6.93 juta insentif pelajar cemerlang sejak 2006

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN | FOTO RIZAL TAHIR

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan membelanja RM6.93 juta bagi memberi insentif kepada pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sejak 2006.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, bagi peperiksaan terbabit 2020 kerajaan negeri memperuntuk RM412,500.

“Sumbangan kepada pelajar cemerlang tersebut dilaksanakan sejak 2006,” katanya pada majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan 2020 di Kompleks Pentadbiran Yayasan Islam Kelantan di Bandar Baru Tunjong semalam.

- Advertisement -

Seramai 825 pelajar menerima saguhati sebanyak RM500 setiap seorang pada majlis tersebut.

Turut hadir Pengarah Yik, Engku Rajhan Engku Ismail dan pegawai-pegawai Yik.

Dr Mohamed Fadzli juga berkata, ibu bapa hendaklah memastikan penggunaan gajet tidak menjadi merosakkan masa depan anak-anak.

“Saya mendapat laporan daripada pakar berkaitan mengenai penyalahgunaan telefon bimbit dalam kalangan anak-anak yang sedang meningkat remaja.

“Banyak kajian menunjukkan masalah sosial, jenayah seksual serta seks bebas dalam kalangan remaja berpunca daripada peranti berkenaan yang digunakan dengan cara yang salah.

“Lebih malang lagi kes itu turut melibatkan pelajar sekolah rendah,” katanya.

Menurutnya juga kebanyakan ibu bapa hanya membiarkan anak-anak mereka menggunakan telefon bimbit tanpa kawalan dengan alasan ia merupakan keperluan pembelajaran sekarang.

Kata beliau memang diakui peranti merupakan keperluan kerana proses pembelajaran masih lagi dilakukan secara atas talian akibat pandemik Covid-19. – HARAKAHDAILY 18/11/2021

- Advertisement -