Rakyat boleh lihat DAP bersungguh pertahan premis judi

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Keputusan kerajaan Kedah tidak akan mengeluarkan lesen judi adalah muktamad dan perbincangan mengenainya tidak perlu diadakan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tindakan itu tidak melibatkan isu perkauman atau tidak menghormati kaum bukan Islam, sebaliknya untuk menjaga keharmonian semua kaum di Kedah.

“Perkara ini tidak sangkut dengan hak bukan Islam tetapi untuk semua agar suasana menjadi harmoni. Pintu-pintu membawa kerosakan perlu ditutup,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman, hari ini.

- Advertisement -

Menurutnya juga judi sekiranya dibiarkan berlarutan akan membawa kesan buruk yang lebih besar kepada semua tanpa mengira kaum dan agama.

“Orang kata tindakan itu akan membuatkan judi haram berleluasa. Itu bab lain. Keputusan ini sudah muktamad dan tak perlu bincang-bincang lagi,” tambah beliau.

Justeru itu katanya sekiranya mana-mana pihak tidak berpuas hati dan ingin bawa hal ini ke mahkamah, ia tidak boleh dihalang kerana itu hak mereka.

Namun katanya, apa yang kerajaan lakukan berpandukan kepada undang-undang.

Menurutnya juga peraturan itu sudah lama dikuatkuasa di Kelantan dan Terengganu tanpa sebarang masalah.

“Tiada pun halangan untuk mereka mengambil tindakan setelah menutup premis-premis judi,” kata beliau.

Sanusi juga berkata, rakyat juga boleh melihat sendiri sikap pemimpin DAP yang begitu bersungguh-sungguh mempertahankan premis judi.

Pada Ahad lepas Sanusi mengumumkan kerajaan Kedah melalui pihak berkuasa tempatan tidak akan mengeluarkan lagi lesen premis judi, di samping mengawal penjualan arak. – HARAKAHDAILY 18/11/2021

- Advertisement -