MAFI perkasakan industri akuakultur negara

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyasarkan pengeluaran dari sektor akuakultur sebanyak 630,000 tan metrik pada tahun 2025.

Timbalan Menterinya, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, berkata sumbangan sektor akuakultur ini diberi tumpuan selari dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (DSMN) 2021 – 2025.

Advertisement

Katanya, antara usaha yang telah dan sedang dilaksanakan oleh MAFI melalui Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) untuk pembangunan akuakultur ialah memantapkan ladang sinergi melalui pengukuhan projek sedia ada dan penambahan projek atau kawasan baharu.

“Sebanyak tiga buah ladang sinergi akan ditambah dengan sistem ternakan baharu, iaitu di Pulau Aman, Pulau Pinang serta Pulau Pangkor dan Teluk Temenggor, Perak.

“MAFI juga memperkasakan estet ikan dengan mengekalkan produktiviti sedia ada serta menambah estet baharu. Sehingga kini terdapat empat estet telah dibangunkan di Pahang dan sebuah estet di Negeri Sembilan,” katanya menjawab soalan Dato’ Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, kluster ternakan dan pembenihan juga diperkukuhkan dengan mewujudkan program pembenihan ikan seperti siakap, kerapu, tilapia dan udang laut, serta memberikan khidmat sokongan melalui Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan (SPeKS) Akuakultur.

Selain itu, MAFI mewujudkan Program Aqua Bijou untuk memberi sokongan kepada komuniti dan pengusaha ikan hiasan seperti betta, guppy dan udang hiasan melalui peningkatan kemudahan dan peralatan.

Sementara itu, Dr Muhammad Zawawi berkata beberapa strategi dilaksanakan bagi membolehkan hasil akuakultur dapat dieksport ke luar negara.

Katanya, antara strategi berkenaan ialah pemberian insentif bagi mengalakkan pengusaha akuakultur memohon Persijilan MyGAP, memfokuskan komoditi ternakan akuakultur kepada spesies yang mempunyai permintaan tinggi di luar negara seperti udang putih, ikan kerapu, ikan siakap, udang harimau dan rumpai laut;

“MAFI juga menyediakan kawasan Zon Industri Akuakultur untuk pelabur tempatan dan luar negara berdasarkan potensi sumber kawasan, kesesuaian iklim dan teknologi pengeluaran.

“Turut disediakan ialah insentif fiskal bagi pelabur yang menjalankan aktiviti akuakultur seperti pengecualian cukai sehingga 100 peratus atas pendapatan berkanun perniagaan selama 10 tahun taksiran bagi projek baharu dan lima tahun taksiran bagi pembesaran projek,” katanya.

Beliau berkata, strategi lain ialah kemudahan kredit melalui institusi kewangan, menyediakan peruntukan bagi input ternakan dan peralatan, termasuk penyediaan asas infrastruktur berdasarkan kesesuaian terma skop yang diluluskan serta menyediakan peluang kepada usahawan menyertai aktiviti promosi dalam dan luar negara.

Katanya, MAFI juga memberi galakan dan bantuan bagi peningkatan produktiviti akuakultur melalui penggunaan sistem dengan teknologi tinggi dan pemindahan teknologi akuakultur melalui penganjuran kursus ternakan ikan. – HARAKAHDAILY 18/11/21